Seorang ibu mendedahkan anak lelakinya yang berusia tiga tahun sering menjadi mangsa gigitan anak orang lain yang ditempatkan di taska sama. Menurutnya dia menghantar anak lelakinya ke sebuah taska sejak Jun lalu selepas pulang ke tanah air dari United Kingdom (UK).
Dakwanya, sejak bulan pertama lagi dia mengesan kesan gigitan di anggota badan anaknya namun hanya mengambil ringan mengenai perkara itu dengan alasan mereka masih kecil. “Tapi selepas tu (anak) kena gigit lagi dan lagi. Tak apalah, dua, tiga kali saya terima. Saya cuba menjadi ibu yang rasional,” ujarnya. Namun dia menjadi beremosi apabila anaknya digigit teruk di bahagian muka ketika berada di taska berkenaan pada September lalu. “Anak saya kena gigit teruk kat sini (pipi) biru dan bengkak. Memang satu pipi, teruk sangat. Bukan sekadar kena gigit yang bengkak biru tu je, lepas tu kena cakar lagi dekat.
“Selepas tu kena cakar lagi dekat sebelah yang lain. Kesan cakar tu sampai tersiat kulit, sampai sekarang masih ada tanda lagi belum baik,” katanya menerusi luahan di media sosial. Masih cuba bersikap rasional, wanita itu kemudiannya berkunjung ke taska untuk melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan mengakui semua kejadian berlaku dengan sekelip mata. “Memang benda tu banyak berlaku sekelip mata, tapi ada seorang budak perempuan berusia dua tahun ni suka sangat kacau anak saya, suka sangat gigit, suka cakar anak saya. “Jadi saya minta supaya beritahu juga pada ibu bapa kepada kanak-kanak itu dan bukan hanya saya seorang je tahu. Ibu bapa kepada anak yang suka menggigit ni pun kena tahu juga keadaan anak mereka,” ujarnya lagi. Selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan dan guru-guru, wanita itu berharap segala masalah yang berlaku dapat diselesaikan. Namun sangkaannya meleset apabila dia mendakwa terdapat lima lagi insiden anaknya digigit di taska yang berlaku Oktober lalu. “Dalam bulan Oktober ada lima kes dan saya mengamuk. Adakah salah saya jadi beremosi selepas saya jadi terlalu rasional? Daripada Jun hingga September, saya masih rasional, dan hantar lagi pada Oktober tapi kena (gigit) lagi,” katanya. Selepas mengadakan pertemuan kali kedua dengan pihak taska pada akhir Oktober lalu, dia kemudian menerima mesej daripada pihak pengurusan menerusi WhatsApp. Wanita itu mendakwa, pihak taska terpaksa memberhentikan anaknya dengan alasan untuk menjaga emosi dan keselamatan kanak-kanak itu. “Kenapa anak saya yang tak buat apa-apa kat orang, anak orang yang gigit anak saya, dia pula yang jadi mangsa diberhentikan sekolah?” tambahnya. Malah, dia turut mendakwa bahawa bukan anaknya seorang sahaja yang menjadi mangsa gigitan di taska tersebut. “Adil ke macam tu? Kalau anak saya yang keluar, kes gigit ni boleh berhenti ke dekat taska tu? “Sepatutnya selepas mengadakan pertemuan pada September lalu, saya percaya pihak taska dan guru-guru lebih berhati-hati untuk menangani isu ini macam beri lebih perhatian kepada kanak-kanak berkenaan. “Pihak taska perlu memainkan peranan yang sangat penting. Bukan saya salahkan anak orang tu gigit anak saya, tapi apa yang pihak taska lakukan adalah membuang anak saya daripada sekolah. Saya rasa sangat kecewa,” katanya. -CARI Sumber: MStar
|
ADVERTISEMENT