Aiman Tino kata dia dan isteri, Syarah Haifa kini masih dalam proses mengenali satu sama lain. "Selepas enam bulan bergelar suami, boleh saya gambarkan ia sebagai satu proses yang agak mencabar. Saya dan isteri masih dalam fasa saling mengenali antara satu sama lain.
"Ada juga rakan-rakan yang lebih berpengalaman yang berkongsi dengan saya, proses mengenali pasangan ini boleh memakan masa bertahun. "Saya rasa, perlukan masa lebih lama untuk belajar selok-belok rumah tangga ini," katanya kepada Harian Metro. Aiman berkongsi bagaimana dia dan isteri menjalani kehidupan mereka.
"Bila dah berumah tangga, kena saling bertolak ansur. Dia pun sama juga, bertolak ansur dengan saya. Kalau ada pertelingkahan kecil, itu normal. "Pernah juga kami bertelingkah sampai saya tak dapat tidur dalam bilik. Ada ketikanya dia merajuk. Sebelum ini, kita sebagai anak-anak pernah melihat rencah kehidupan rumah tangga ibu bapa kita. Sekarang, saya sendiri melalui fasa itu dan saya belajar memujuk. "Wanita, bila dia 'tinggi' (emosi), kita tak boleh 'tinggi' juga. Di rumah, saya tak banyak bercakap. Kalau dia sedang beremosi, saya diam saja. "Saya duduk di luar sebentar, bagi dia sejuk sikit. Kemudian baru akan tanya dan berbincang dengan cara lembut. Kemudian dia pun akan berlembut hati. Dia nak kita sendiri pujuk dia," katanya.
Ditanya mengenai perancangan untuk cahaya mata, Aiman menyerahkan semuanya kepada Allah. "Kami tak rancang apa-apa mengenai anak. Kalau 'melekat', Alhamdulillah. Memang soalan mengenai anak ini memang selalu diajukan. "Pergi ke mana-mana pun, orang akan tanya. Kalau Allah bagi, itulah masa yang tepat. Kami okay saja menunggu. Jumlah anak-anak, saya rasa tiga sudah memadai. Saya tak rancang untuk ada ramai anak memandangkan ekonomi sekarang pun agak mencabar. Dengan kos sara hidup yang tinggi, saya rasa, tiga sudah memadai," katanya.
Di saat isteri-isteri artis seperjuangannya berdepan dengan pelbagai isu serta kontroversi, Aiman dan isterinya nampaknya masih berada dalam zon selamat. "Saya pun nampak juga benda-benda seperti itu berlaku. Saya tak adalah takut atau apa. Cumanya, saya rasa, dia pun dah bersedia untuk hadap benda-benda begitu sebab kami dah buat pilihan begitu. "Saya sendiri pun dah bersedia. Sama ada kita sendiri yang 'tempah' benda itu (kontroversi) atau netizen yang ciptakan.
"Setakat ini, saya tak membataskan apa-apa hantaran isteri saya di media sosial. Dia pun tahu batasannya, apa yang saya suka dan apa yang saya okay," katanya. Terbaru, Aiman baru saja melancarkan single berjudul Berbagi Kasih beberapa bulan lalu dan bakal merakamkan satu lagi karya dengan kerjasama komposer dari Indonesia. "Beberapa bulan lalu, saya baru sahaja melancarkan single baharu berjudul Berbagi Kasih. Kemudian, selepas ini, saya akan masuk ke studio lagi untuk merakamkan lagu baru.
"Kali ini, saya `bekerjasama bersama komposer dari Indonesia yang namanya akan saya kongsikan kelak. "Ini semua diuruskan oleh pihak syarikat rakaman dan saya berharap kerjasama ini akan membuka peluang untuk saya melebarkan sayap ke Indonesia," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|