Pengarah dan penerbit filem, Dr Ahmad Idham Ahmad Nazri menepis tanggapan keputusan meninggalkan pentas politik dan aktif semula dalam dunia kreatif disebabkan merajuk. Ahmad Idham berkata, objektif menceburi politik adalah mahu memperjuangkan hak kanak-kanak istimewa. Baginya, tujuan itu sudah tercapai selepas banyak pihak mula membuka mata terhadap keperluan golongan terbabit.
"Saya punya perjuangan politik bukan untuk industri kreatif, sebaliknya, lebih kepada hak kanak-kanak istimewa. Ramai orang tahu saya ada Hab Pendidikan Khas yang diusahakan bersama beberapa rakan strategik. "Pengunduran saya dalam bidang politik bukanlah kerana merajuk. Kalau kita ada anak istimewa atau ada dalam kalangan ahli keluarga kita punya anak istimewa dan lihat apa yang berlaku di Malaysia, anda akan rasa seperti saya. "Saya cakap dalam soal sistem anak-anak istimewa membesar iaitu daripada segi taraf pendidikan dan fasiliti.
"Saya tidak pernah masuk politik untuk memperjuangkan industri seni. Bagi saya, bidang itu sudah matang," katanya pada sidang media drama rantaian, Bukan Sekadar Lafaz di Sri Pentas, Bandar Utama di sini, baru-baru ini. Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ahmad Idham yang bertanding kerusi Parlimen Port Dickson atas tiket PEJUANG, tewas kepada calon Pakatan Harapan (PH) juga Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT