Hero filem Mar Rak iaitu Kael menjelaskan babak 'panas' yang tular di media sosial sekadar salah faham dan tidak tahu menahu mengenai kontroversi yang timbul. Pemilik nama penuh Michael Lean Chien Er berkata dia dimaklumkan mengenai kontroversi itu ketika dihubungi oleh pihak media.
"Pada awalnya, saya tak tahu mengenai video tular yang dikatakan babak seks itu. Ada orang dan pihak media menghubungi saya bertanyakan mengenai adegan yang didakwa babak seks. "Pada masa itu, saya tak beri komen lanjut kerana saya sendiri tak tahu mengenai video tersebut. Sebenarnya tak ada pun babak sebegitu. "Itu cuma salah faham yang ditularkan. Saya tak tahu kalau wujud unsur sabotaj, tapi saya sendiri selaku pelakon dan mewakili tenaga produksi, kami mahu pertaruhkan karya seni dan dikenali dengan produk yang baik," katanya kepada Harian Metro.
Peserta program Lagu Cinta Kita TV3 ini menafikan wujudnya adegan panas dan menyarankan agar netizen menonton terlebih dahulu sebelum membuat penilaian. "Tak ada babak berunsur seksual, tak ada adegan ranjang. Kami paparkan sedikit babak yang heroin, Shatirah Amanda yang membawa watak Rashida berjaya menggoda saya yang memegang watak Krasem. Sebenarnya, itu babak sihir pengasih. "Saya sarankan netizen tonton dahulu sebelum melakukan sebarang penilaian. Jangan hanya melihat melalui sudut video viral sahaja kerana jalan cerita yang kami mahu sampaikan mempunyai maksud yang lebih mendalam," katanya. Filem Mar Rak terbitan Pentas Wayang Production dan diarahkan Datuk TS Jeffry bakal menemui penonton pada 2 November ini. Selain Kael ia turut dibintangi Shatirah Amanda, Nina KSC, Dyvianna James dan ramai lagi. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT