Pelakon Juhara Ayob tidak pernah terfikir untuk meletakkan titik noktah pada karier lakonan walaupu sibuk sebagai pensyarah di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) sejak 2007.
"Sekarang saya adalah pensyarah subjek lakonan di Fakulti Teater. Sebelum ini, saya dipinjamkan di Pusat Seni Pentas Tradisional (PUTRA). "Bagaimanapun, saya masih lagi berlakon. Seperti sebelum dilantik sebagai Dekan, saya tetap menjayakan drama dan teater. "Namun, jadual agak padat selepas dilantik sebagai Dekan sejak 2019. "Apabila ditawarkan berlakon, saya terpaksa tolak disebabkan jadual saya daripada pagi sehingga petang penuh dengan mesyuarat. Juhara banyak mengisi masa dengan memupuk minat anak muda terhadap seni persembahan melalui pelbagai aktiviti. F "Tidak hanya itu, saya juga banyak bertugas di luar daerah. Alhamdulillah, tawaran semakin banyak selepas saya tidak lagi bertugas sebagai Dekan pada tahun ini," katanya. Juhara berkata, dia kini kembali aktif berlakon, malah tawaran berlakon teater juga diterima. "Kalau berlakon drama, pagi hingga petang, tapi teater pula boleh berlatih selepas waktu kerja. Ini tidak mengganggu waktu kerja saya. "Jadi, kalau berlakon teater saya okay sahaja. Namun, buat masa ini, saya belum menerima tawaran berlakon di layar perak," katanya. Berkongsi lanjut, Juhara yang dikenali sebagai aktivis teater juga tidak menafikan berusaha memupuk minat terhadap seni persembahan kepada generasi muda. "Di sekolah tak diwajibkan seni persembahan dan tradisional kerana kurikulum sekolah sudah diatur. "Disebabkan itu, saya melakukan bengkel untuk menarik generasi muda. "Sekarang saya banyak bekerjasama dengan guru. Kami menyediakan bengkel percuma untuk guru dengan tujuan membawa ilmu yang dipelajari ke sekolah. "Alhamdulillah, usaha saya disambut baik sejak 2019. Ada sahaja guru dan pelajar berminat menyertai bengkel. "Saya mahu menerapkan minat terhadap seni tradisional di kalangan masyarakat hari ini. "Seperti sedia maklum, seni Mak Yong diiktiraf oleh Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan seni Mek Mulung pula tidak lama lagi. "Jika saya tak perkenalkan seni budaya kepada anak Melayu, siapa lagi? Sedangkan dunia mengangkat seni, tapi kita tak tahu. "Jadi, saya nak sasar pelajar sekolah dengan berkolaborasi dengan pihak sekolah untuk bekerjasama," katanya. Antara usaha mengetengahkan seni persembahan dan tradisional menerusi pementasan Randai Pintar Badang. Juhara terbabit dalam pementasan dan dan pelakon kanak-kanak yang dipilih pernah menyertai bengkel anjurannya. "Kami bermula dengan Dikir Barat, Mek Mulung dan kemudiannmya, saya fikir mengapa tidak cuba randai. "Alhamdulillah, ramai kanak-kanak berminat dengan bengkel dianjurkan dan kanak-kanak yang sama menyertai pementasan Randai Pintar Badang ini. "Apabila sudah ada asas berkaitan lakonan dan kesenian, saya hanya gilap bakat sahaja selama dua minggu. "Bagi saya, tiada kesukaran sebab pelakon kanak-kanak ini semuanya berpengalaman dalam bengkel sebelum ini. "Jadi, pementasan inilah beri peluang kepada mereka merasai secara realiti randai yang berkonsepkan tradisional," katanya. Juhara pernah menerima Anugerah Seni Negara bagi kategori Bakat Muda (Pelakon) pada 2006. Randai Pintar Badang terbitan CTRA Production dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selama tiga hari pada 13 Oktober lalu. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT