Kangar: Kehadiran 'orang ketiga' dalam rumah tangga, suami tidak romantik dan isteri meluahkan permasalahan rumah tangga di media sosial antara faktor moden membawa kepada penceraian di Perlis.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pentadbiran Undang-Undang Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Muhammad Hafeez Abu Seman berkata, purata sekitar 1,000 fail kes baru penceraian dibuka JAIPs setiap tahun. "Peningkatan ini memang berlaku setiap tahun dan bukan sahaja di Perlis tetapi di negeri lain juga. Kita buka fail penceraian baru secara purata sebanyak 1,000 kes setahun. "Ia akan dimulakan dengan runding cara terlebih dahulu antara suami dan isteri dan jika tidak boleh juga, baharulah penceraian itu dijadikan sebagai penyelesaian. "Jika dahulu, kita lihat penceraian di Perlis ini banyak dipengaruhi faktor tradisi seperti suami tidak beri nafkah atau suami terbabit dalam gejala penagihan ketum atau najis dadah. "Namun mutakhir ini punca penceraian dan permasalahannya agak kompleks termasuk kehadiran 'orang ketiga' dalam rumahtangga.
"Selain itu faktor suami tidak romantik dan isteri luah masalah di media sosial juga akhirnya menyebabkan institusi kekeluargaan yang dibina itu akhirnya runtuh yang meningkatkan lagi kepada masalah penceraian di Perlis," katanya selepas Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2023 dengan tema 'Orang Ketiga' di Kelab Golf Putra, Sungai Batu Pahat, di sini, tadi. Majlis berkenaan dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof. Katanya, dalam mengatasi masalah ini seharusnya suami dan isteri mengetahui tanggungjawab masing-masing kerana segala perbuatan dan perlakuan dalam rumah tangga ini akan disoal kelak di akhirat. "Masalah rumah tangga tidak sewajarnya diceritakan kepada khalayak ramai terutama di platform media sosial kerana orang yang tidak tahu pun akhirnya boleh menjadi tahu masalah dialami. "Di sebalik permasalahan penceraian, JAIPs turut melihat berlaku peningkatan antara 3,000 hingga 3,500 permohonan pernikahan di Perlis," katanya. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT