Jakarta: Tular di media sosial deretan lima ‘kubur’ yang lengkap dengan kain putih dan ditaburi bunga muncul di tepi sebatang jalan raya. Perkara itu menimbulkan kekecohan dalam kalangan penduduk Purwakarta, wilayah Jawa Barat yang tertanya-tanya kewujudan 'kubur' tersebut.
Ketua Kampung Cinangka, Ida Marlina kemudian tampil menjelaskan bahawa ‘kubur-kubur’ itu adalah palsu yang sengaja dibina bagi memberi amaran kepada penduduk agar tidak membuang sampah merata-rata. “Terdapat banyak longgokan sampah-sarap di kawasan jalan tersebut sebelum ini. “Saya sudah letih dan bosan dengan keadaan jalan yang dipenuhi longgokan sampah. Setiap minggu saya terpaksa membersihkan sampah. “Namun, selepas dibersihkan, masih ada lagi penduduk yang membuang sampah,” katanya. Tambah Ida, disebabkan itu, dia mendapat idea untuk meletakkan tanah merah dan menghasilkan bentuk menyerupai kubur bagi menakut-nakutkan orang ramai agar tidak membuang sampah.
“Dulu pernah juga kami buat begitu tetapi tidak menjadi tular. Namun, Alhamdulillah kerana keadaan di lokasi terbabit bertukar bersih untuk beberapa ketika. “Namun, disebabkan kawasan itu kembali kotor, kami sekali lagi membuat binaan lima ‘kubur’,” katanya. – AGENSI Sumber: Kosmo! Online |
ADVERTISEMENT