Pelakon dan pelawak popular, Zizan Razak menyasar memiliki badan sasa atau 'sado' pada sambutan hari kelahiran ke-40, tahun depan. Zizan yang pernah membina otot bagi menjayakan watak dalam filem Polis Evo 2 menjadikan beberapa aktor Bollywood dan Hollywood sebagai idola. Baginya, mereka memiliki tubuh ideal biarpun sudah menjangkau usia 40-an dan 50-an.
"Saya rancang dapatkan bentuk badan yang ideal dan sasa seperti pelakon lelaki di Bollywood dan Hollywood. "Tengok sahaja Datuk Shah Rukh Khan, Aamir Khan, John Abraham, Tom Cruise atau Brad Pitt. "Mereka adalah idola saya. Mereka sihat, awet muda dan mempunyai badan yang cantik walaupun usia masing-masing semakin meningkat. "Kelebihan itu membuatkan mereka masih mendapat tawaran berlakon watak utama selain kekal relevan dalam industri seni. "Saya mahu mengikuti jejak langkah semua hero itu... InsyaAllah. Itu menjadi antara azam dan sasaran saya tahun depan.
"Saya mahu selesaikan dahulu segala perancangan dan tugasan yang sudah disusun lebih awal, tahun ini, sebelum fokus mendapatkan bentuk badan diinginkan," katanya. Ditanya mengenai rutin harian, anak seni berasal dari Terengganu itu cukup menjaga pemakanan.
|
ADVERTISEMENT