Bella Dally yang kini sudah bergelar penerbit drama jamin syarikat produksi miliknya, Ariz Media Entertainment Sdn Bhd tidak akan 'menganiaya' pelakon atau krew produksi dalam soal bayaran kerja.
Sebagai pelakon yang sudah terbabit dalam dunia seni lebih 10 tahun dia memahami perasaan apabila menerima bayaran lewat. "Saya akan pastikan penerbit eksekutif membayar gaji krew dan pelakon mengikut jadual yang ditetapkan. "Sebagai individu yang berada dalam dunia seni, saya faham perasaan apabila menerima bayaran lewat kerana kita semua ada banyak komitmen dan tanggungan," katanya kepada Harian Metro.
Suami kepada Bella iaitu Arif Izuddin Mohd Radzali yang turut bertindak sebagai penerbit bersama mengaku terdapat beberapa kelemahan dalam industri lakonan yang boleh dipertingkatkan. "Ketika Bella menyatakan hasrat untuk membuka syarikat produksi saya memberi sepenuh sokongan kepadanya. "Alhamdulillah kami sudah terbitkan lima drama dan saya berkesempatan berbual dengan ramai pihak termasuk pengarah, krew dan pelakon.
"Jadi secara tidak langsung saya menerima banyak ilmu baru termasuk ada beberapa kelemahan dalam industri seni terutama soal kebajikan. "Insya-Allah saya akan cuba melihat perkara ini dan tengok apa yang boleh diperbaiki lagi," katanya.
Dalam pada itu, drama Cik Misi 123 yang kini sudah ditayangkan di Astro Ria sejak 9 Oktober lalu membariskan ramai pelakon terkenal seperti Sweet Qismina, Adam Lee, Hafreez Adam, Afifah Nasir, Faizdickie dan ramai lagi. Cik Misi 123 mengisahkan perjalanan Oya (lakonan Sweet Qismina) yang terpaksa memasuki kursus kejururawatan. Di Kolej Oya bertemu Mika (lakonan Adam Lee) yang kemudian berusaha memenangi hatinya.
Ketika mereka bekerja di hospital, konflik besar mula berlaku apabila tunang lama Oya, Dr Aish (lakonan Hafreez Adam) muncul sehingga teman wanita Dr Aish iaitu Dr Erin (lakonan Bella Dally) iri hati. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|