Datuk Afdlin Shauki memberitahu dia berasa bahagia dengan kehidupan selepas dua bulan berkahwin. Kata Afdlin atau Afdlin Shauki Aksan, 52, hidupnya kini lebih tenang dan gembira apabila perihal makan dan minumnya kembali dijaga oleh seorang isteri.
"Saya sekarang sangat bahagia, seronok, tenang dan makan minum sudah dijaga kembali. "Setakat ini Alhamdulillah saya sangat gembira dengan keadaan diri saya sekarang. Semuanya berjalan dengan baik," katanya kepada mStar. Dalam pada itu, Afdlin memberitahu dia ingin berkongsi berita gembira pernikahannya bersama isteri iaitu Marcella pada Ogos lalu namun menangguhkan hasrat kerana Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung. Dia bersyukur apabila perkahwinan keduannya ini diterima baik oleh anak-anak dan bekas isteri iaitu Christina. "Saya menghormati isteri saya... dia tidak kisah sekiranya saya ingin berkongsi berita gembira (pernikahan) ini... tapi saya mahu berikan kami masa.
"Saya nak umumkan pada Ogos lalu tetapi ada PRN pula... saya tidak mahu fokus orang (masyarakat) lari. "Alhamdulillah semua keluarga menerima perkahwinan ini dengan baik... hubungan isteri dengan anak-anak dan bekas isteri saya juga baik-baik sahaja. "Anak-anak menerima baik dengan keputusan untuk saya bernikah semula... seorang anak saya hadir pada majlis pernikahan kami dan dua lagi tidak hadir... tapi mereka semua okay sahaja," ujarnya. Sementara itu, Afdlin turut berkongsi pernikahan keduanya ini dilakukan secara kecil-kecilan, cukup sekadar untuk menghalalkan hubungan suami dan isteri. Menurut Afdlin, dia merasa kasihan kerana tidak dapat menganjurkan sebuah majlis perkahwinan yang sempurna buat Marcella. "Majlis pernikahan pun dilakukan secara kecil-kecilan, tidak ada majlis perkahwinan yang besar. "Kadang-kadang kesian juga dengan isteri saya kerana tiada majlis perkahwinan besar-besaran... tetapi Alhamdulillah dia cakap tidak kisah dan dia okay sahaja. "Niat kami hanya untuk menghalalkan hubungan dan majlis pernikahan sudah cukup untuk meraikan kami," katanya. Pada Ogos lalu, Afdlin mengesahkan sudah menamatkan zaman bujang dengan Marcella yang juga merupakan pengurusnya. Enggan mendedahkan tarikh sebenar pernikahan mereka, Afdlin memberitahu semua urusan perkahwinannya dipermudahkan. Desas-desus Afdlin sudah bertemu pengganti menjadi bualan ramai apabila aktor itu memuat naik gambar berbuka puasa bersama seorang wanita pada Ramdan lalu. Untuk rekod, Afdlin dan Christina atau Maria Christina Orow Abdullah berkahwin pada 1997 dan berpisah pada April 2022. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Mia Sara, Anais dan Ileana Matin. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT