Badan seorang isteri menjadi gempal selepas mengambil pil perancang kehamilan. Bertambah sadis apabila suaminya tidak menghargai kerja keras yang dilakukan dalam usaha menurunkan berat badan.
"Saya tengah cuba kawal pemakanan, tapi suami kata saya asyik bagi alasan sebab walaupun dah berbulan-bulan jaga makan tapi masih sama je. Suami tak percaya pada proses. "Dalam masa tujuh bulan dah turun lima kilogram (kg), tapi sejak dua bulan lepas susah betul nak turun walau satu kilogram pun, tak naik dan juga tak turun. "Secara keseluruhan, saya rasa badan saya sihat sebab setiap hari saya bersenam, sekurang-kurangnya satu jam sehari. Stamina okay, dan saya pun ada masuk banyak kelas senaman baru-baru ni. "Saya akui, kadang tu saya ada juga tertewas diet sebab tergoda nak makan benda manis," luahnya di media sosial.
Menurut wanita itu, ekoran kata-kata suaminya dia berasa sedih dan mula tidak yakin dengan diri sendiri. "Saya rasa buruknya diri saya ni walaupun badan rasa semakin sihat. Sedih terutamanya apabila pernah janji dengan suami untuk kurus tapi tak berjaya capai target lagi. "Suami pula kata dia tak nampak apa-apa perubahan pada diri saya walaupun dia tahu saya sedang berusaha keras. Kami akan gaduh sebab perkara ini dan saya rasa diri saya sangat tak berharga. "Setiap kali tengok badan orang lain kurus, saya akan kecewa yang amat dan rasa suami mereka mesti gembira untuk ada isteri yang jelita. Sementara saya, suami tak rasa saya cantik dan seksi. "Susahnya nak turunkan berat badan ni, saya rasa tertekan. Tolong doakan saya untuk jadi isteri solehah dan cantik di mata suami," ujarnya menutup bicara. Di ruangan komen rata-rata warga maya menyelar suami wanita tersebut yang sepertinya tidak mempunyai empati. "Entahlah tak faham aku dengan suami macam ni. Usaha tu dah ada cuma awak tak dapat sokongan daripada suami kalau dia asyik buat awak terasa. "Tak perlu fikir sangat apa suami awak cakap, teruskan berusaha, awak buat ni untuk diri awak. Nanti lambat laun mesti akan nampak juga perubahan tu. "Sis ni dah ada permulaan yang positif cuma suami mulut lancang sangat, itu yang terasa susah," kata sebahagian warga maya. -CARI Sumber: mStar
|