Georgetown: Sering mendapat makanan percuma yang ada kalanya sehingga 12 kali sehari membuatkan wanita warga emas berasal dari Johor, rela menjadi gelandangan di Pulau Pinang. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zakaria Taib berkata, wanita berusia 70an itu yang 'berumah' di kaki lima Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) mendakwa tiba di negeri ini beberapa hari lalu untuk bertemu anaknya.
"Kita dapati memang banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu persendirian bermurah hati mengedar makanan untuk golongan tersebut di sekitar bandar ini jadi mereka tidak bimbang kelaparan walaupun tiada tempat tinggal tetap. "Namun, masalah timbul apabila makanan tersebut akhirnya dibuang merata-rata, mungkin kerana ia tidak menepati selera atau mereka menerima terlalu banyak makanan," katanya selepas Op Gelandangan di sini, awal pagi hari ini.
Zakaria berkata, pihaknya menyarankan bantuan makanan disalur terus kepada Pusat Transit Gelandangan (PTG) di Jalan Magazine di sini atau diedar kepada rumah kebajikan sama ada rumah anak yatim, warga emas atau orang kurang upaya (OKU). Katanya, langkah itu bagi mengelak pembaziran sumber sekali gus memastikan sumbangan diagih secara berfokus. "Ia juga membantu membanteras aktiviti mengemis yang dikhuatiri didalangi sindiket," katanya. Beliau turut berkongsi mengenai adik-beradik yang mengemis sanggup membawa cucu saudara berusia empat tahun dan berulang alik hampir setiap hari dari Sungai Petani, Kedah untuk meraih wang mudah, berbanding mengemis sendirian. Terdahulu, operasi bersepadu JKM bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berjaya menyelamatkan 21 gelandangan terdiri daripada 15 lelaki, lima wanita dan kanak-kanak. Sementara itu Exco Pembangunan Sosial dan Kebajikan negeri, Lim Siew Khim berkata, sejumlah 212 gelandangan diselamatkan di seluruh Pulau Pinang sejak Januari lalu hingga semalam. "Ada yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, Selangor, Sarawak selain dari negeri berdekatan seperti Kedah, Perak dan Perlis dengan pelbagai alasan. "Ramai kata datang ingin cari kerja tapi tiada tempat tinggal, namun kita perhatikan lebih ramai akhirnya menganggur atau hidup mengharapkan belas ihsan orang ramai. "Mereka ini bertumpu di Jalan Masjid Kapitan Keling, Jalan Penang, stesen bas KOMTAR dan ada yang sanggup tidur di lorong-lorong gelap," katanya yang memberitahu gelancangan diselamatkan akan melalui proses tapisan sebelum boleh menghuni PTG yang kini berjumlah 48 orang. Menurutnya, gelandangan di PTG berpeluang mengikuti program penempatan pekerjaan dan bengkel kemahiran sebelum kembali ke pangkuan masyarakat. -CARI Sumber: Harian Metro
|
jihyomelly: dulu2 thn 90an 2000 x seramai sekarang..kat bawah komtar yg ramai pun org gila skarang org gila kurang gelandangan ramai
ADVERTISEMENT