Penyanyi, Ani Maiyuni tidak menyangka lagu Dasar Buaya Cinta yang dipopularkannya ketika usianya 25 tahun kembali tular media sosial terutamanya di TikTok. Pemilik nama sebenar, Aishah An-Nur Osman, 45, berkata, ia digunakan oleh generasi baharu sebagai lagu latar untuk pelbagai video kandungan yang mereka hasilkan dan muat naik di platform itu.
Lagu ini kini kembali mencuri perhatian ramai termasuk artis seperti Reen Rahim, malah tular hingga Indonesia. Baginya ia umpama rezeki yang tidak pernah dijangkakan olehnya. "Saya sendiri tak sangka lagu Dasar Buaya Cinta itu kembali tular terutama di TikTok. Lagu itu saya lancarkan pada 1998, tapi ia mula popular sekitar 2000. "Di Indonesia pada ketika itu, pernah diadakan peraduan tiru gaya Ani Maiyuni. Malah, saya pun pernah tampil membuat persembahan di sana. Kemudian perlahan-lahan orang mula lupakan lagu itu. Tapi, tak sangka pula ia kembali memeriahkan media sosial.
"Ada yang 'tag' saya di muzik video lama saya. Pada saya, ini juga salah satu rezeki yang tak disangka-sangka. Kalau dulu untuk promosikan lagu, kita kena adakan rangka promosi dan siri jelajah. Zaman sekarang, semuanya lebih mudah dengan adanya media sosial. Malah, generasi baharu pun turut tahu mengenai kewujudan lagu ini," katanya.
|
ADVERTISEMENT