"Saya hanya minta doa yang baik-baik." Itu permintaan penyanyi, Haqiem Rusli apabila diminta mengulas tindakan memuat naik hantaran membabitkan isterinya, Anis Sofea yang meraih perhatian netizen, baru-baru ini.
Haqiem ketika dihubungi BH Online berkata, dia tidak boleh memberi ulasan panjang kerana ia isu peribadi dan sensitif buat mereka. "Untuk soalan mengenai isteri saya, saya tak boleh nak jawab terlalu banyak. Cuma apa yang saya boleh katakan, saya hanya minta doa yang baik-baik daripada semua pihak untuk Sofea dan hubungan kami. "Isu ini sensitif sedikit, kalau saya jawab lebih, takut disalah tafsir," katanya. Haqiem meraih perhatian ramai selepas memuat naik video Sofea yang kini dilihat kembali berhijab. Menerusi hantaran itu, Haqiem mengungkap kata-kata semangat supaya wanita kesayangannya itu tabah mengharungi pelbagai ujian mendatang.
April lalu, Sofea atau nama sebenar, Wan Anis Sofea Wan Zamzuri membuat kejutan apabila memadam kebanyakan foto di Instagram (IG) miliknya termasuk gambar bersama suami. Haqiem menikahi Anis pada majlis tertutup dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya pada 19 November 2021. Sementara itu, bertanya mengenai kerjaya seni yang berjalan agak perlahan, Haqiem memberitahu, dia akan terbabit dalam program realiti bersama penyanyi, Ariff Bahran. "Ini pasang surut seorang anak seni dalam industri. Namun, saya tak pernah berhenti daripada terus berusaha. "Insya-Allah, saya akan sertai program realiti dengan Ariff, itu adalah salah satu strategi untuk kekal relevan," katanya. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT