CariDotMy

 Forgot password?
 Register


ADVERTISEMENT

CariDotMy Portal Portal Utama Selebriti Tempatan Lihat artikel

'Buang Ego 'Primadona' Tu, Terimalah Hakikat Dah Tak Laku' - Raja Azmi

27-9-2023 09:35 AM| Diterbitkan: tatod| Dilihat: 1569| Komen: 0

Penerbit filem dan pelakon, Raja Azmi, 64, menyarankan penggiat seni veteran agar sedia belajar kemahiran kerja lain di belakang tabir apabila sudah tidak laku sebagai pelakon dan mendapat tawaran kerja dalam bidang berkenaan.


Raja Azmi berkata, dia juga mencadangkan supaya persatuan seperti Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (Profima) dan Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) bergabung menubuhkan satu yayasan khusus untuk membantu penggiat veteran yang tiada tawaran kerja untuk mempelajari kemahiran baharu.


"Mereka (penggiat veteran) perlukan kerja lakonan untuk memperoleh sumber pendapatan bagi kelangsungan hidup. Tapi, peluang kerja berlakon yang ada pula terhad dan selalunya sudah diisi oleh pelakon lain. Jadi, penggiat veteran ini harus disalurkan pada kemahiran lain pula.

"Cuma, sanggup atau tidak saja mereka (penggiat veteran) mahu mencuba kemahiran kerja yang lain di belakang tabir pembikinan drama itu bagi meraih pendapatan apabila sudah tidak laku sebagai pelakon. Apatah lagi, bidang lakonan di Malaysia ini ada 'time frame' untuk seseorang pelakon," katanya kepada Harian Metro.


Raja Azmi berkata, dia sendiri aktif sebagai pelakon sejak 2016 lalu, namun pembabitannya dalam industri hiburan tempatan bermula dari 1993 sebagai penerbit filem, novel, komik dan animasi yang boleh dikatakan hampir mencecah 34 tahun.

"Apapun, setakat ini Alhamdulillah saya tidak berhadapan masalah mendapatkan tawaran lakonan kerana saya tidak bergantung harap sepenuhnya sebagai pelakon saja. Kalau ada tawaran berlakon diterima, saya bersyukur.

"Sebenarnya sebagai penggiat veteran, kita kena sedar bahawa satu hari nanti kita dah tak laku lagi sebagai pelakon dan harus bersedia terima hakikat itu apabila sampai masanya. Jadi, mula persiapkan diri dengan kemahiran lain," katanya.

Tidak hanya itu, Raja Azmi juga mengingatkan kepada segelintir penggiat seni veteran agar membuang ego 'primadona' sekiranya masih ada dalam diri mereka kerana di usia yang semakin tua sekarang ini sudah tidak dipandang lagi.

Mengenai cadangan penubuhan yayasan, Raja Azmi berkata, ia mungkin dapat membantu penggiat veteran dengan kemahiran kerja yang lain di belakang tabir pembikinan drama seperti pembuat minuman, mengurus penyediaan makanan, pembantu jurusolek dan apa saja yang sesuai serta boleh mereka buat.


"Profima dan Seniman perlu membantu cari jalan penyelesaian terbaik. Masalah kekangan tawaran kerja dihadapi penggiat veteran seperti pelakon ketika ini agak kritikal. Jadi, sebagai persatuan yang berkaitan, perlu membuat langkah segera untuk membantu artis senior ini terus mendapat sumber pendapatan," katanya.

Baru-baru ini, menerusi video 'podcast' di TikTok penerbit dan pengarah, Datuk Jurey Latiff Rosli dipaparkan luahan pelakon, Rosnah Johari, 60, yang membuka mulut mengakui sudah empat bulan tidak berlakon kerana tiada sebarang tawaran diterima.

Luahan sedih itu didedahkan Rosnah yang turut mewakili ramai rakan artis seangkatannya yang sudah berusia serta kini perlu akur duduk di rumah kerana tiada tawaran kerja yang diterima daripada pihak produksi.

Selain tiada tawaran kerja, segelintir penggiat veteran turut meluahkan mereka menerima bayaran lakonan rendah dan tidak setimpal antara RM150 sehingga RM200 oleh pihak produksi bagi satu episod dengan alasan kekangan bajet.


Sumber: Harian Metro

Bagus

Marah

Terkejut

Sedih

Lawak

Bosan

ADVERTISEMENT


| Komen di Forum

Komen Terbaru


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


 


 


ADVERTISEMENT



ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

29-11-2024 11:18 AM GMT+8 , Processed in 0.035798 second(s), 12 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

To Top