Tumpat: Seorang wanita dipercayai tertekan dengan masalah rumah tangga dan bebanan hutang, bertindak di luar jangkaan dengan terjun dari Jambatan Sultan Yahya Petra pagi tadi. Wanita berusia lingkungan 30-an itu diselamatkan orang ramai dan beberapa pemandu bot yang kebetulan berada di tebing Sungai Kelantan di Kampung Pasir Pekan, di sini.
Pemilik jeti, Muhamad Juhari Nayan, 52, berkata ketika kejadian jam 9 pagi, dia kebetulan berada di jeti dan sedang berbual bersama beberapa rakan. "Saya terima panggilan telefon daripada seorang rakan memberitahu ada seorang wanita terjun dari jambatan. Saya bergegas menghidupkan enjin bot dan menghala ke lokasi wanita itu lemas, kira-kira 100 meter dari jeti.
"Sebaik menghampirinya, rakan melemparkan pelampung ke arah mangsa yang kelihatan tenggelam timbul dalam sungai. Sebaik berjaya mencapainya, wanita itu dibawa naik ke dalam bot pulang ke jeti," katanya ketika dihubungi. Muhamad Juhari berkata, wanita itu memberitahu dia tertekan dengan masalah rumah tangga dan bebanan hutang yang ditanggung ahli keluarganya. "Wanita itu memberitahu dia datang dari Kota Bharu dengan memandu kereta sebelum meletakkannya atas jambatan dan terus terjun ke sungai. "Keadaannya memang nampak tertekan dan kami cuba menenangkannya sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan," katanya. Sumber: BH Online |
ADVERTISEMENT