Khai Bahar terpaksa menolak banyak tawaran berlakon sejak tahun lalu disebabkan kesihatan ibunya yang kurang baik ketika ini. Katanya dia enggan menyusahkan pihak produksi sekiranya berlaku sebarang kecemasan melibatkan ibunya iaitu Rosnah Mohd, 62, yang menetap di Perlis.
“Banyak tawaran berlakon yang saya terima termasuk sebagai watak utama. Tapi sejak tahun lalu saya menolak tawaran berlakon. “Saya tahu kalau berlakon perlu ada komitmen jadual. Saya tidak mahu menyusahkan produksi kalau ada kecemasan. “Sekarang ini, kalau dengar ibu tak sihat saya akan terus balik Perlis,” katanya kepada mStar.
Kali terakhir Khai tampil sebagai pelakon adalah menerusi drama Shakira pada 2021. Berkongsi keadaan terkini ibunya yang menghidap penyakit buah pinggang tahap empat, Khai memberitahu ibunya itu kerap kali dimasukkan ke hospital akibat sesak nafas.
"Ada ketika tengah malam ibu sesak nafas dan terpaksa dikejarkan ke hospital. Selain masalah buah pinggang, dia juga ada penyakit jantung, paru-paru dan hati. "Sebelum ini pernah dapat rawatan di Kuala Lumpur, tapi bila dia mula dialisis, saya lebih senang rawatan itu dibuat dekat Perlis sebab ada adik-beradik yang boleh tolong jaga," jelasnya. Bercakap mengenai single Pejam, Khai memberitahu lagi ciptaan Audi Mok dan Shazee itu berjaya dirakam dengan sekali 'take' sahaja.
Teruja dengan lagu baharu itu, Khai berkata, ia ibarat impian jadi kenyataan apabila berpeluang berduet dengan Adira yang merupakan penyanyi kegemarannya. "Selama ini saya selalu nyanyi lagu Ombak Rindu dan pernah pasang niat nak berduet dengan Adira.
"Lagu dan video muzik dirakamkan sekali sahaja... Semoga lagu ini mendapat sambutan baik daripada pendengar," katanya. -CARI Sumber: mStar
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|