Nabawan: Penduduk Kampung Salinatan dalam mukim Pensiangan dan kawasan sekitarnya, di sini, hampir terputus bekalan makanan berikutan beberapa kejadian tanah runtuh dan jambatan rosak yang memutuskan jalan perhubungan ke kawasan terpencil itu awal bulan ini.
Ketua Anak Negeri (KAN) Mukim Pensiangan, Atar Andipoh, berkata kira-kira 300 penduduk kampung di kawasan berkenaan terjejas berikutan kesukaran mendapatkan bekalan makanan dari luar disebabkan kejadian tanah runtuh itu. Katanya, kebun penduduk yang terletak jauh dari kawasan perkampungan juga tidak dapat dimasuki kenderaan pacuan empat roda atau motosikal yang biasa digunakan mereka sebelum ini, menyukarkan lagi situasi dihadapi. "Bencana tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini mengakibatkan komuniti Kampung Salinatan teruk terjejas. Terdapat lebih 30 tanah runtuh berlaku di antara jalan Salinatan ke simpang Pensiangan, ditambah pula 10 tanah runtuh di jalan Sabinait menuju ke luar.
"Barang makanan asas penduduk kampung berkurang secara mendadak sepanjang tujuh hari selepas tanah runtuh berlaku kerana bekalan makanan di kampung terhad di rumah masing-masing. "Kedai runcit di Kampung Salinatan dan di kampung berhampiran juga kehabisan makanan untuk dijual. Tiada siapa menduga bencana ini berlaku dan tiada siapa bersedia dengan bekalan makanan yang cukup untuk waktu lama," katanya menerusi satu kenyataan, di sini. Katanya, beliau sudah membuat laporan ke Jabatan Kebajikan berhubung situasi dihadapi penduduk kawasan berkenaan, namun tindakan lambat diambil. Berikutan itu, beliau mengambil keputusan bertanya individu yang mengenali mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) yang boleh membantu penduduk Kampung Salinatan. "Situasi ini bertambah berat kerana bencana ini turut membawa hanyut jambatan yang sering digunakan penduduk. Jambatan ini satu-satunya kemudahan untuk kenderaan penduduk kampung melintasi sungai," katanya. Bagaimanapun, katanya beliau bersyukur ada guru di Salinatan mengenali NGO Forces Of Love (FOL) untuk meminta bantuan bagi pihak penduduk kampung. Berikutan itu, Atar berkata permohonan bantuan diajukan kepada NGO terbabit sebelum akhirnya bantuan bahan makanan dapat dihantar dan disalurkan kepada penduduk terjejas beberapa hari lalu. Misi bantuan itu, katanya turut dijayakan dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM). Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT