Ibu Shila Amzah, Fauziah Sarman, 55, menyepikan diri dan hanya berkongsi beberapa hantaran di Instagram Story bagi menggambarkan situasi dirinya ketika ini. "Diamku bukan tak tahu, hanya menunggu waktu yang tepat saja," tulisnya di IG Story.
Fauziah juga mengingatkan mengenai kematian yang akan hadir pada waktunya dan tidak terlewat walaupun sedetik serta hargailah insan tersayang selagi masih berpeluang. "Kematian akan tetap hadir. Tidak akan terlewat walau sedetik. Hargailah orang yang kita sayang selagi Allah masih pinjamkan mereka kepada kita. Layan mereka seolah setiap detik adalah kali terakhir bersama," tulisnya berserta emoji sedih. Bagi menggambarkan kekuatan semangatnya meneruskan kehidupan kini, Fauziah berkongsi pendekatannya yang lebih mendekatkan diri kepada Yang Esa seiring waktu berlalu. "Dekati Allah, perbaiki lagi semuanya, pasti ada perubahan dalam hidupmu menjadi lebih baik lagi," tulisnya. Pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, di sini, mengesahkan lafaz cerai dibuat penyanyi dan pelakon era 1980-an, Datuk ND Lala, 62, terhadap Fauziah secara 'voice note' (rakaman suara) di WhatsApp pada 2 Ogos lalu adalah sah. Fauziah dan bekas suami, ND Lala sudah hidup bersama selama 34 tahun sejak 1989 dan mereka dikurniakan empat anak iaitu Shila, 33, Amir Syafiq, 30, Amir Syahir, 28, dan Nur Syuhada, 25. Difahamkan ND Lala membuat lafaz cerai itu di Masjid Ar Rahman, Bangsar, di sini dan hanya diketahui Fauziah pada 8 Ogos lalu menerusi kiriman WhatsApp daripada bekas suaminya. Pada Jumaat lalu, selepas lama berdiam diri, ND Lala tampil membuat penjelasan menerusi rakaman video di akuan Instagram miliknya berhubung permasalahan rumah tangga dengan bekas isteri dan perceraian yang berlaku. ND Lala juga mengaku dia sudah berkahwin kali kedua dengan wanita pilihan dikenali Siti Munirah Abdul Ghani, 33, yang pernah didedahkan oleh Fauziah di akaun Instagram pada April lalu. Penyanyi lagu Diari YB itu juga menepis dakwaan isterinya, Siti Munirah adalah 'penyondol' kerana dia sendiri bertemu dengan bapa mentuanya untuk meminta izin dan restu memperisterikan wanita berkenaan. -CARI Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT