Singapura: Pihak Berkuasa Kewangan Singapura (MAS), hari ini mengeluarkan larangan seumur hidup terhadap Ng Chong Hwa, bekas pegawai bank Goldman Sachs (Singapura) yang terbabit dalam skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Arahan itu menyusuli pendakwaan Ng, yang juga dikenali sebagai Roger Ng, di Amerika Syarikat (AS) kerana konspirasi melakukan pengubahan wang haram, yang diselewengkan daripada 1MDB, dan melanggar Akta Amalan Rasuah Asing (FCPA) AS. "Salah laku Ng memberi sebab kepada MAS untuk mempercayai bahawa adalah bertentangan dengan kepentingan awam bagi membenarkannya terus bekerja sebagai wakil perniagaan di Singapura.
"Di bawah perintah larangan yang berkuat kuasa hari ini, Ng secara kekal diharamkan daripada mengendalikan sebarang kegiatan yang dikawal selia di bawah Akta Sekuriti dan Saham (SFA). "Ng juga tidak dibenarkan untuk bertindak sebagai pengarah atau menjadi pemegang saham utama di mana-mana syarikat yang mengendalikan urus niaga seumpamanya," kata MAS. Ng adalah satu-satunya juru bank Goldman Sachs yang didakwa dan dibicarakan atas tuduhan berkaitan skandal 1MDB. Dia dituduh di AS pada 8 April tahun lalu dan dijatuhi hukuman penjara 190 tahun pada 9 Mac. mahkamah mendapati, dalam tempoh antara 2009 dan 2014, Ng berkomplot dengan beberapa yang lain termasuk bekas pengarah Goldman Sachs (Singapura), Tim Leissner, dalam pengubahan wang haram yang diseleweng daripada 1MDB. MAS mengenakan larangan kekal terhadap Leissner pada 19 Disember 2018. Leissner mengaku bersalah dan memberi keterangan di AS terhadap Ng, di bawah satu perjanjian kerjasama dan dia belum lagi dijatuhi hukuman. - REUTERS Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT