Video dance cover lagu Damelo yang dihasilkan sebuah studio tarian dan kecergasan dari Kota Bharu, Kelantan menjadi bualan hangat. Menerusi laman YouTube 714 Studio, empat penari utama diiringi lapan penari latar lelaki dan perempuan dilihat beraksi menggunakan lagu itu di sebuah kawasan lapang.
Menerusi babak berlainan, mereka dilihat sedang menari di dalam studio sebelum beralih ke kawasan lot bangunan kedai. Video yang dimuat naik ke platform YouTube sejak sembilan hari lalu meraih berpuluh ribu tontonan dan turut dihujani komen pujian netizen. "Seseorang tolong pastikan Dolla tonton video ini. Ia sangat hebat. "Kelate boh, sek kito steady sokmo! Ini persembahan yang hebat. Dolla mesti tengok. "Wow, mungkin Dolla patut menari dengan mereka jika buat konsert jelajah di Kelantan," tulis beberapa individu.
Video itu turut tular di laman TikTok, namun ruangan komen dicemari dengan perbalahan netizen yang berbeza pendapat tentang aksi tarian berkenaan. Segelintir pelayar TikTok menyelar tarian berkenaan kerana dianggap tidak bersesuaian dengan imej Islam di negeri Kelantan. "Merepek dah ni. Tak boleh normalkan benda macam ni. Mana Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB)? "Maaf saya tak nak mengaku Kelantan macam ni. Maaf banyak-banyak, teruk sangat. "Ni bukan budaya Kelantan," tulis netizen di TikTok. Namun, beberapa individu tampil mempertahankan kumpulan itu kerana mereka bukan individu beragama Islam. "Ini Chinese Kelantan, jadi tiada masalah. Mereka tak seksi sangat, masih sopan. "Dekat Kelantan, bukan je Melayu yang ada. Cina, India, Siam semua ada. Apa yang peliknya? "Semua mereka bukan Muslim, tak pelik pun," tulis beberapa individu lagi. Untuk rekod, selain lagu Damelo kumpulan Dolla yang dianggotai Sabronzo, Syasya, Tabby dan Angel popular dengan lagu Watch Me Glow, Raya Raya Raya, Berani dan banyak lagi. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT