Selain artis yang sudah berhijrah sepenuhnya, penganjur Festival Cinta Ummah belum bersedia memanggil artis lain mengadakan persembahan semasa konsert kerohanian Islam yang bakal berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK), 1, Pahang, bermula 31 Ogos sehingga 3 September ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Empire Daie Holding Berhad (EDHB), Zainizam Mat Daud berkata, pihaknya tidak mensyaratkan artis tertentu tidak boleh datang. "Namun, konsep yang kita bawa adalah Islamik yang sudah tentu memerlukan artis bersesuaian dengan konsep sedemikian. “Kalau selitkan artis lain (belum berhijrah), kita bimbang akan jadi isu dan timbul fitnah di kemudian hari. Sebab itu, kita undang artis yang sudah berhijrah serta dalam masa sama menarik artis lain bersama kita walaupun belum berhijrah. “Hijrah ini maksudnya mereka yang istiqamah dengan iman dan amal serta sunnah nabi. Kalau artis seperti Baby Shima atau mana-mana artis sekalipun, mungkin kita boleh bekerjasama untuk lokasi seterusnya seperti di Melaka dan Putrajaya,” katanya semasa sidang akhbar di sini, baru-baru ini.
Lebih 10 artis bakal terlibat dalam festival yang bakal berlangsung selama 72 jam itu, antaranya seperti Datuk Nash, Daqmie, Dr Sam, Ali XPDC, Mawi, Derry Sulaiman dan Yabang Khalifah. Festival selama tiga hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik seperti selawat, qasidah, aktiviti keagamaan serta perkongsian penghijrahan selebriti. Zainizam berkata, pihaknya juga menyasarkan kehadiran 8,000 hingga 10,000 pengunjung bagi memeriahkan festival, selain membuka peluang rezeki kepada peniaga Islam. “Kita juga ingin membantu ekonomi umat Islam serta mengajak peniaga dan pengunjung supaya taat pada perintah Allah. “Festival ini juga akan menjelajah seluruh negara serta melibatkan kerjasama dengan masjid negeri,” jelasnya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT