Penyanyi, Datuk Hattan, 58, menyarankan agar penyanyi zaman sekarang menabung dan gunakan wang simpanan mereka untuk menghasilkan album. Katanya, seorang penyanyi perlu memiliki album untuk kelangsungan kerjaya mereka dalam industri seni tanah air.
“Saya suka Aina Abdul. Dia penyanyi hebat, pemenang Anugerah Juara Lagu dan salah seorang penyanyi terbaik yang kita ada. “Saya tonton konsertnya di Istana Budaya, bagus budaknya. Hormat pada orang tua. Tapi sayang, lagunya tak banyak. “Suka atau tidak, dia kena ada album penuh. Saya sarankan, simpan hasil pendapatan yang diperoleh daripada jualan single kemudian belanjakan untuk buat album,” katanya. Hattan berkata demikian selepas sidang media Petaling Jaya Folklore Festival 2023 baru-baru ini. Diminta pandangan tentang penampilan Aina yang disifatkan ramai sebagai keterlaluan, Hattan berkata itu cara penyanyi tersebut untuk menonjol.
“Itu hak dia. Setiap orang ada cara masing-masing untuk menonjol. Dia tak susahkan kita pun,” komennya. Sementara itu, penyanyi lagu Biso Bonar itu turut berkongsi pandangan tentang penyanyi, yang padanya hebat dan berbakat besar. “Aina salah seorang penyanyi yang terbaik. Selain itu Misha Omar, Jaclyn Victor. Marsha Milan juga bagus tapi agak lambat menyerlah. Patut dulu lagi. Tapi inilah dinamakan rezeki. “Kalau penyanyi lama saya suka Azlina Aziz dan Dayangku Intan,” kongsinya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT