Bell Ngasri, 43, tetap berbangga dan berpuas hati dengan pencapaian anak keduanya, Nasfarisya Nasrizal, 14, yang mewakili sekolah dan negara dalam pertandingan pidato Actions For Earth Award & Global Youth Summit di Vietnam walaupun gagal memenangi sebarang tempat dan hadiah.
Nasfarisya terpilih bersama tiga peserta lain iaitu Eshal Nabihah Nazamuddin, 15; Areesa Humairah Khairul Hafizi, 15; dan Amira Aisyah Abdullah, 14; dalam pertandingan yang berlangsung di International Centre for Interdisciplinary Science and Education di Quy Nhon, Binh Dinh, Vietnam mulai 23 Ogos lalu dan berakhir semalam. "Terima kasih semua. Anak saya tidak menang untuk pertandingan ini. Namun, ia pengalaman baik untuk dia belajar dan lalui. Kami tak sangka dapat liputan meriah daripada pihak media dan seluruh Malaysia. "Komen-komen ada yang saya sempat baca dan sangat hargai. Anak saya pun gembira dan insya-Allah akan terus belajar baik-baik dan cemerlang di masa akan datang," katanya kepada Harian Metro.
Menerusi pidato Bahasa Inggeris itu, mereka yang juga pelajar cemerlang dari Sekolah Menengah Setiabudi di Gombak, Selangor bersaing dengan peserta yang berusia 15 tahun ke atas. Bell berkata, dia juga gembira apabila guru Nasfarisya memaklumkan anaknya terpilih kerana fokus, minat dan serius dalam program EDEN. "Kata gurunya, Nasfarisya terpilih atas keperibadian dan kebolehan dia sendiri. Dia juga berharap Nasfarisya akan terus sukses dalam akademik dan sukan. Terima kasih kepada guru pengiring yang terbabit juga. "Anak saya ini memang minat sukan, tarian, pelajaran dan pelbagai lagi. Dia boleh sertai lagi pidato ini kalau terpilih. Nasfarisya juga aktif sebagai pelakon suara latar iklan di radio dan TV," katanya.
Terdahulu, Bell melahirkan kesyukuran apabila Nasfarisya terpilih sebagai peserta pidato untuk sekolah dan mewakili negara walaupun usianya baru 14 tahun. "Nasfarisya budak rajin dan anak pandai. Alhamdulillah, dapat anak tak ikut perangai bapa (bergurau). Alhamdulillah, paling kurang dia membanggakan kami sekeluarga. "Semoga dia berjaya hingga ke anak cucu la senang. Saya mendoakan yang terbaik untuknya," katanya. -CARI Sumber: Harian Metro
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|