Putrajaya: Seorang pekerja rencam terpaksa meringkuk dalam penjara selama 13 tahun selepas Mahkamah Rayuan, di sini hari ini mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya kerana melakukan serangan seksual fizikal ke atas anak perempuan yang berusia 13 tahun, lima tahun lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Hadhariah Syed Ismail, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah turut mengarahkan lelaki itu dikenakan enam sebatan. Tertuduh, yang sebelum ini dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya dilupuskan, diperintah memulakan hukuman penjara hari ini. Dalam keputusan yang dicapai secara sebulat suara, Hadhariah berkata, sabitan kesalahan terhadap lelaki itu adalah selamat untuk dikekalkan. Justeru, beliau berkata, panel itu menolak rayuan tertuduh terhadap sabitan serta hukuman dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Lelaki berusia 42 tahun itu pada mulanya dibebaskan Mahkamah Sesyen pada 20 April 2021 daripada pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap anaknya di rumah tidak bernombor di sebuah kampung di Kampar, Perak pada Julai 2018 dan ini menyebabkan pendakwaan merayu kepada Mahkamah Tinggi. Dia didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan. Pada 30 Jun tahun lalu, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan lelaki itu. Mahkamah Tinggi kemudian mensabitkan lelaki terbabit dengan kesalahan itu dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dengan dua sebatan, selain hukuman tambahan penjara tiga tahun dan empat sebatan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 16(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 kerana tertuduh memiliki hubungan bersifat amanah dengan mangsa memandangkan dia adalah bapa kandungnya. Mahkamah Tinggi juga memerintahkan tertuduh supaya menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan dan pengawasan polis selama tiga tahun selepas selesai hukuman penjara. Peguam A Srimurugan mewakili tertuduh, manakala Timbalan Pendakwa Raya Solehah Noratikah Ismail dan P Sarulatha hadir bagi pihak pendakwaan. Sumber: Bernama
|
ADVERTISEMENT