Aktor Farid Kamil mendoakan dua anaknya selamat dan bahagia di bawah jagaan bekas isteri, Diana Danielle seperti diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah di sini, hari ini. Farid berharap dua cahaya matanya iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora,8, sentiasa berada di bawah perlindungan dan peliharaan Allah SWT.
"Saya harap mereka (anak-anak) akan selamat dan bahagia." "Buat masa ini, hanya doa Fi Amanillah (di bawah lindungan Allah) serta saya berharap mereka akan selamat dan bahagia," katanya ketika ditemui selepas selesai prosiding tuntutan hadanah di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, di sini. Farid atau nama sebenar, Farid Kamil Zahari, 42, turut meluahkan rasa rindu selepas hampir dua bulan tidak dapat bertemu dengan permata hatinya itu. "Kali terakhir saya bertemu mereka adalah sebelum Aidiladha. Sudah tentu rindu walaupun jalan kita (bekas isteri) sudah berbeza.
"Saya selalu buat panggilan video dan dapat berhubung dengan Muhammad dan Aurora melalui WhatsApp," katanya. Ditanya adakah anak-anak tahu status penceraian mereka, pelakon filem Anwar: The Untold Story berkata, dia sudah menjelaskan perkara itu kepada anak sulungnya. "Saya sudah maklumkan pada Muhammad mengenai perkara ini. Saya harap dia faham dengan situasi sekarang. "Apa yang lebih penting adalah kesihatan mental dan keselamatan mereka menjadi keutamaan saya," jelasnya. Terdahulu. prosiding itu turut membenarkan Farid untuk melawat anak-anak mengikut terma dipersetujui kedua-dua belah pihak. Pada 10 Ogos lalu, Farid dan Diana sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Subang. Farid melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie, Shukran Yusof menerusi aplikasi Google Meet berikutan mengalami masalah kesihatan kesan akibat jangkitan COVID-19. Diana memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di mahkamah sama, Mac lalu. Alasan diberikan pelakon filem Imaginur itu ialah tiada persefahaman, selain berlaku shiqaq atau perbalahan berpanjangan serta tidak dapat lagi hidup bersama sebagai suami isteri Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT