Pelakon wanita, Amelia Henderson mengakui dia tidak pernah sama sekali membayangkan dirinya terpalit dengan kontroversi yang mengheretnya ke muka pengadilan. Kata aktres berusia 28 tahun itu, reputasi bersih selama ini tercalar bila dilabelkan degil dan sombong hanya kerana ingin mempertahankan hak.
Tak pernah terdetik mencetuskan perbalahan, namun Amelia hanya ingin semua pihak mendapat keadilan saksama. "Bohonglah jika tak terkesan bila dilabelkan degil dan sombong. Tiada manusia dalam dunia ini rela bila dicemuh melulu, tetapi saya bersyukur keluarga dan rakan baik lebih mengenali saya. "Jika bercakap dari sudut profesional, saya tak terkesan bila dianggap degil dan sombong. Ini kerana orang sekeliling kenal saya. "Namun, saya terasa bila membaca komen netizen. Rasa sakit pasti ada, saya juga bimbang persepsi ini melambangkan 'refleksi' diri saya," katanya kepada BH Online.
Tambahnya lagi, andai benar dirinya bermasalah, sombong, pentingkan diri dan tidak kisah perasaan orang, mungkin kelibatnya sudah tidak kelihatan dalam dunia lakonan. "Mana mungkin saya bertahan selama 27 tahun jika tidak memiliki reputasi baik. Saya masih lagi bertahan hingga hari ini. "Saya yakin ini disebabkan saya bina reputasi baik dengan penggiat seni. Saya berterima kasih kepada produksi yang sudi dan masih beri kepercayaan walaupun saya berperang dalam keadaan ini," katanya.
Ujar Amelia, tindakan diambil juga bukan dilakukan mengikut perasaan, namun mendapat nasihat daripada mereka yang pakar. "Langkah saya mempertahankan nama dan kerjaya tidak dilakukan ikut kehendak hati. Tiba-tiba bangun tidur rasa nak ambil tindakan, bukan begitu. "Semuanya dibuat atas pertimbangan. Saya tak pernah turun naik mahkamah dan saya juga tidak faham mengenai prosedur mahkamah. "Jadi, saya mendapatkan nasihat daripada mereka yang pakar dalam bidang perundangan untuk dapatkan keputusan betul. "Sepanjang bergelar pelakon, saya tak pernah ada masalah dengan sesiapa. Jika saya rasa tidak boleh melakonkan watak dengan baik, buat apa saya hendak sabotaj diri sendiri. "Bukan sahaja reputasi tercalar, malah menimbulkan masalah kepada orang lain dan produksi. Jadi, itu adalah proses yang saya utamakan dalam setiap tawaran diterima, adakah mampu atau tidak bawa watak diberikan," katanya. Amelia sedar, ramai yang tidak berani membuat tindakan seperti diambil. Bukan ingin 'membunuh' kerjaya sendiri, apatah lagi, seluruh kehidupannya sejak berusia 10 bulan didedikasikan kepada kerja. Justeru, katanya, takkan semudah itu dirinya mahu memusnahkan kerjanya selama 27 tahun. "Saya tentunya ambil berat soal kerjaya. Saya tak mungkin lakukan sesuatu yang boleh memakan diri sendiri. Ini kerana seluruh kehidupan saya memang untuk kerja. "Keluarga terutama ibu banyak berkorban untuk saya menjadi pelakon sejak kecil, jadi takkan saya ingin sia-siakan begitu sahaja. "Apa yang berlaku memberikan pengajaran dan peringatan. Banyak yang saya hadapi dan tak pernah terfikir satu saat pun akan memanggil media untuk tujuan ini. "Ada masanya saya rasa kelakar mengenangkan apa yang berlaku, tetapi ada masanya terbit rasa trauma hingga tak mahu keluar rumah. "Mungkin juga ini takdir hidup saya. Dengan apa yang berlaku, saya mungkin akan menjadi pelakon dan usahawan yang lebih bijak. "Ini saya kerana pernah melalui satu situasi yang tiada siapa pun lalui. Sekurang-kurangnya, saya faham apa sebenarnya semua ini," katanya. April lalu, Amelia diperintahkan membayar ganti rugi lebih RM200,000 kepada penerbit, Datuk A Aida apabila didakwa melanggar kontrak penggambaran drama Sekali Lagi Cinta Kembali. Sumber: BH Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|