Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam pada Selasa memberikan hak penjagaan sementara Ivy Herra Sophia kepada ibunya Fatin Afeefa. Pelakon itu bersyukur dengan keputusan dibuat mahkamah namun kes induk hadanah antara dia dan bekas suami pelakon Adam Shahz masih lagi berjalan.
Menurut Fatin, dia berjanji akan menjaga anak perempuannya itu dengan baik sehingga kes induk hadanah selesai. "Alhamdulillah, kes hadanah interim selesai. Kes induk hadanah masih berjalan. "Saya bersyukur kepada Allah, Ivy akan berada di bawah penjagaan saya sehingga kes utama selesai," katanya di Instastory. Sebelum ini, Adam atau Nor Shah Azli Abdol Ghani, 42, memfailkan permohonan bagi mendapatkan hak lawatan dan bermalam bersama anak perempuan mereka. Fatin bagaimanapun memfailkan bantahan untuk permohonan pindaan tersebut. Pada Julai lalu, menerusi temu bual bersama mStar, Adam meluahkan rasa syukur apabila bekas isterinya itu sudi bertolak ansur dan memberikan keizinan untuk bertemu dengan Ivy. Kata Adam, dia mengambil kesempatan bertemu dan meluangkan masa bersama anaknya itu semasa cuti sekolah. Untuk rekod, Adam dan Fatin mendirikan rumah tangga pada 21 Disember 2013 namun bercerai empat tahun kemudian. Selain Ivy, Fatin turut memiliki seorang anak lelaki iaitu Adam Aisy Arrian yang kini berusia 10 tahun hasil perkahwinan terdahulu. -CARI Sumber: mStar
|
ADVERTISEMENT