Sungai Petani: Seorang wanita berusia 41 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan mendera anak perempuan kandungnya sendiri berusia 13 tahun sejak Julai lalu.
Turut berhadapan pertuduhan mendera mangsa ialah seorang wanita berperwatakan lelaki berusia 34 tahun. Kedua-dua mereka iaitu K. Subatradevi, 41, dan G. Sasikalah, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan terhadap mereka dibacakan di mahkamah berasingan. Mereka bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran. Mengikut pertuduhan pertama, Subatradevi didakwa menganiaya anaknya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan pada muka, dahi, kepala, tangan dan siku kiri. Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan perbuatan sama yang mungkin menyebabkan kecederaan di bahagian depan badan.
Kesalahan bagi pertuduhan pertama dilakukan pada pukul 11.30 pagi, 1 Ogos lalu manakala kesalahan bagi pertuduhan kedua pula dilakukan pada pukul 12 tengah hari pada Julai lepas. Perbuatan tersebut didakwa dilakukan di sebuah rumah di Flat Paya Nahu 1, di sini. Sementara itu, Sasikalah berdepan dengan satu pertuduhan mendera yang mungkin menyebabkan mangsa mengalami kecederaan pada muka dan kepala. Dia didakwa melakukan perbuatan itu di lokasi sama kira-kira pada pukul 11 pagi, 31 Julai lalu. Sumber: Kosmo! Online
Dapatkan lebih banyak info terkini di Channel Rasmi Cari Dot My
|