New York: Seorang doktor pakar bertindak menembak bayinya sebelum membunuh diri dalam satu insiden mengejutkan di kediaman mewah miliknya di Westchester. Kejadian tragis itu melibatkan Pakar Hematologi dan Onkologi, Dr. Krystal Cascetta berusia 40 tahun yang berkhidmat di Hospital Mount Sinai di New York City.
Menurut laporan ABC 7, Cascetta meninggal dunia akibat luka tembakan sekitar pukul 7.00 pagi selepas didakwa menembak bayi kecilnya yang dipercayai berusia 4 bulan di kediaman bernilai lebih AS1 juta (RM4.55 juta) di bandar Somer. “Siasatan awal mendapati Cascetta memasuki bilik anaknya pada awal pagi dan menembak bayi perempuan itu. Kemudian dia menghalakan pistol itu ke arah dirinya sendiri dan melepaskan satu lagi tembakan. “Insiden itu konsisten dengan tindakan pembunuhan dan membunuh diri,” kata polis negeri dalam satu kenyataan.
Menurut sumber, ibu bapa Cascetta turut berada di kediaman berkenaan ketika tragedi menyayat hati itu berlaku, namun suaminya, Tim Talty, 37, yang mengendalikan kedai rangkaian produk kesihatan tiada di rumah. Cascetta yang merupakan lulusan Kolej Perubatan Albany, memegang jawatan sebagai profesor madya perubatan di sekolah perubatan swasta Mount Sinai dan menjadi penyiasat aktif ujian klinikal kanser payudara. Wanita itu pernah menerima anugerah Persatuan Kehormatan Kemanusiaan Emas kerana menunjukkan kecemerlangan dalam penjagaan klinikal kemanusiaan dan dedikasi tinggi kepada perkhidmatannya. Beberapa bekas pesakit Cascetta dilaporkan memenuhi ruang komen di media sosialnya untuk mengenang pakar perubatan itu dan menzahirkan rasa terkejut dan simpati mereka atas kejadian itu. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT