Gua Musang: Pemandu dan kelindan sebuah lori membawa muatan minyak kelapa sawit maut selepas kenderaan berat yang dinaiki itu terbabas di Jalan Paloh 3- Lebir, di sini hari ini. Dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu, mangsa, Yahya Jusoh, 36, dan kelindan, Mohammad Hariz Zulkifli, 20, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, lori jenis Volvo itu dipercayai sedang dalam perjalanan dari sebuah kilang minyak sawit di Paloh 3 di sini menuju ke Klang, Selangor. Katanya, semasa tiba kawasan jalan yang selekoh, lori terbabit dipercayai hilang kawalan lalu terbabas masuk ke laluan kanan jalan sebelum terbalik.
“Nahas itu menyebabkan kedua-dua mangsa tersepit di dalam lori dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. “Mayat pemandu lori dan kelindan itu dibawa ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat,” katanya ketika dihubungi Kosmo!, hari ini. Choon Foo memberitahu, siasatan lanjut mendapati, kemalangan berlaku semasa lori tersebut hilang kawalan ketika melalui laluan selekoh sebelum terbabas dan terbalik di sebelah kanan jalan. Sumber: Kosmo! Online
|
ADVERTISEMENT