Penyanyi rock dan pelakon, Datuk Awie mendedahkan pernah satu ketika ramai yang 'takut' dengannya. Malahan, ada juga yang menyimpan benci terhadap selebriti itu. Kata Awie, sejarah kehidupan lalu yang kerap terbabit dengan kes gaduh dan pukul membabitkan pihak polis hingga dia dilabel samseng dan kaki pukul.
"Ketika itu, nama saya sering kali terlihat dari sudut pandang negatif. Orang takut hendak berkawan rapat dengan saya. Tetapi apa yang mereka tak tahu, banyak perkara yang berlaku ada sebabnya. Orang senang tuding jari. Lontar fitnah sana-sini. “Orang mengata tanpa selidik, tak tahu siapa dan apa yang berlaku. Tetapi merentasi usia, saya terima apa sahaja yang telah dilalui. Ini takdir, qada dan qadar saya. Rezeki dan turun naik itu semua dari Allah,” katanya. Namun di kala umur mula bergerak menuju ke usia emas, apa yang bapa kepada enam orang anak ini mahukan hanyalah pengakhiran membahagiakan di negeri abadi kelak. Mahu meninggalkan dunia dengan segala yang indah sahaja.
Cuma yang tersisa dalam hati adalah kekecewaan apabila sering kali menjadi mangsa fitnah dan tohmahan. Itulah bayaran populariti dan nama yang diraih sepanjang 40 tahun dalam dunia seni. “Saya tahu, kita figura umum. Terdedah dengan segala macam fitnah dan tohmahan. Saya kasihan dengan orang yang fitnah, jatuh hukum terhadap saya. Takut mereka tak sempat minta maaf. “Kita ini bertuhan dan beragama. Kalau kita faham konsep itu, akan ada rasa takut untuk menyebarkan fitnah. Saya mahu mengakhiri hidup dengan memikirkan kebahagiaan di akhirat kelak. “Dulu masa muda bukan tak cari agama, cuma zaman darah tengah panas. Kita ada keghairahan sendiri. Tetapi sekarang, kita sudah belajar. Saya sedia memaafkan dan meminta maaf,” ujarnya.
|
ADVERTISEMENT