Kota Bharu: Seorang bilal terkilan apabila bukan sahaja kerugian RM30,000, malah lebih 300 buah kitab berkaitan Islam turut musnah selepas rumah yang disewa sejak 16 tahun lalu terbakar dalam kejadian di Pondok Madrasah Diniah Bakriah, Pasir Tumboh di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 10.20 malam itu berlaku ketika Wan Zainul Abidin Wan Ismail, 50, berada di rumah adiknya di Kampung Beris Lalang, Bachok mengakibatkan dia tidak dapat menyelamatkan barangan berharga miliknya. Katanya, kebanyakan kitab yang amat dia sayang itu melibatkan ilmu fekah, tasawuf dan usuluddin. Turut hangus ialah dua buah motosikal, barangan elektrik dan tabung yang mengandungi sejumlah wang.
“Saya bergegas pulang ke rumah selepas mendapat panggilan daripada jiran. Saya tinggal sehelai sepinggang kerana tak sempat nak menyelamatkan apa-apa ekoran api marak. “Kebakaran dipercayai berpunca daripada litar pintas kerana sistem pendawaian sudah lama. Ketika ini, saya menumpang di rumah adik sementara mencari rumah sewa lain,” katanya ketika ditemui di sini semalam. Sementara itu, pemilik rumah, Norziati Mohamad, 52, berkata, ketika kejadian dia berada di dalam rumah selepas menunaikan solat isyak. “Tiba-tiba saya dengar bunyi riuh dan apabila buka tingkap, saya terkejut melihat api sedang marak membakar empat rumah sewa saya. Dua penghuni sempat menyelamatkan sebahagian barangan dan dokumen penting,” katanya. Dalam pada itu, Komander Operasi Balai Bomba Pasir Tumboh, Azman Mohd. Ghani berkata, lima jentera bersama 22 kekuatan dikejarkan ke tempat kejadian. “Kita berjaya mengawal kebakaran hampir sejam bagi mengelak ke beberapa pondok yang bersebelahan,” katanya. Sumber: Kosmo! Online |
ADVERTISEMENT