Sejak pandemik Covid-19, maka bermulalah ketagihan pelik kanak-kanak berusia 12 tahun di Kampung Ciwareng, Jawa Barat yang gemar menghidu bau petrol setiap hari. Portal Kompas melaporkan, ketagihan itu bermula selepas bapanya kerap meminta bantuannya untuk membeli petrol.
"Kebetulan bapanya seorang mekanik. Jadi setiap pulang ke rumah dia suka cium bau petrol yang dibeli," kata ibunya, Acah Wiharsi, 45. Kanak-kanak itu mencium bau petrol dengan cara mengisinya ke dalam botol plastik, dan ia dilakukan sejak tiga tahun lalu. Menurut Acah, ketagihan menghidu bau petrol menyebabkan anaknya berhenti sekolah selepas masuk darjah empat. Acah berkata, anaknya juga akan mengamuk, jika dilarang menghidu bau petrol. "Setiap hari dia pegang bekas berisi petrol, malah sampai nak tidur dia bawa ke atas tilam. Jika tak diberi, nanti dia akan mengamuk," katanya.
Menurut Acah, anaknya sudah dibawa ke pusat kesihatan awan untuk mendapatkan rawatan dan kini, mereka mencuba kaedah rawatan alternatif. "Diberi ubat untuk saraf tetapi belum ada perubahan tetapi selepas jalani rawatan alternatif, (keadaan) anak saya semakin baik. "Anak saya juga sudah mula terbiasa untuk meninggalkan botol yang berisi petrol dalam (tempoh) tiga hingga empat jam. "Alhamdulillah. Tapi jika dipaksa, dia akan marah," katanya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT