Kuala Lumpur: Ringgit boleh mencecah RM3.70 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) menjelang akhir tahun depan, disokong pertumbuhan China yang kukuh dan ekonomi AS yang bertahan. Ketua Ahli Ekonomi Maybank Investment Bank, Suhaimi Ilias, berkata jangkaan perkembangan di dua kuasa besar ekonomi dunia itu akan menyokong pertumbuhan Malaysia yang turut akan menjadi kukuh, sekali gus menyokong mata wang tempatan.
"Kadar inflasi juga mereda dan kekal pada tahap yang boleh diurus. Bank Negara Malaysia (BNM) turut berkemungkinan tidak akan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) kerana bank pusat itu melihat bahawa kadar faedah berada pada paras normal, namun perbezaan kadar faedah dengan AS sepatutnya melebar apabila Rizab Persekutuan (Fed) mengurangkan kadar. "Dalam senario ini, nilai AS berbanding ringgit sepatutnya mencecah RM4.30 menjelang akhir tahun ini dan menghampiri paras RM3.70 menjelang akhir 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Bagaimanapun, dalam senario terburuk, Suhaimi berkata, ringgit mungkin mencecah sekitar RM4.70 berbanding dolar AS pada akhir 2023 dan menghampiri paras RM5.00 menjelang akhir 2024. "Ini berlaku jika inflasi Malaysia meningkat sebagaimana yang dihadapi di AS yang ekonominya juga mencatat kemelesetan. "BNM mungkin menaikkan kadar untuk menangani inflasi yang tinggi tetapi kadarnya mungkin masih ketinggalan berbanding AS, di tengah-tengah kebimbangan keadaan ekonomi tempatan," katanya. Sementara itu, beliau menjelaskan, dalam kes asas ringgit mungkin berakhir pada paras sekitar RM4.57 menjelang akhir tahun dan kira-kira RM4.20 pada 2024. "Dalam keadaan ini, Malaysia masih akan mencatatkan pertumbuhan positif di tengah-tengah pemulihan di China dan inflasi juga berkurangan. "BNM mungkin tidak menaikkan kadar faedah dengan bank pusat melihat pada tahap normal sekali lagi tetapi berdasarkan pengurangan kadar faedah dari Fed serta perbezaan kadar mungkin meningkatkan manfaat ringgit," katanya. Ringgit meneruskan penurunannya berbanding dolar AS pada sesi awal hari ini selepas minat risiko dalam pasaran tempatan terjejas disebabkan pengukuhan ketara mata wang negara maju itu menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan AS (FOMC). Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT