Ampang: Pasukan pembelaan yang mewakili Safiey Ilias menegaskan lelaki itu disabitkan atas pertuduhan 'cacat' dan pihaknya mengemukakan bantahan awal terhadap dua daripada empat pertuduhan yang dihadapi usahawan kosmetik itu.
Bantahan awal secara lisan itu dikemukakan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini di hadapan Hakim Norhazani Hamzah. Dalam hujahannya, peguam Harjeet Singh Sidhu berkata, kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu 'cacat' kerana tidak menjelaskan butiran komunikasi seksual yang didakwa berlaku antara tertuduh dengan kedua-dua remaja berkenaan. Katanya, ketiadaan butiran khusus itu menyukarkan pihaknya menyoal balas saksi-saksi dan menyediakan pembelaan kelak kerana perkataan 'berkomunikasi secara seksual' digunakan hanya secara am. Selain itu, Harjeet berkata, pihak pendakwaan juga belum menyerahkan rakaman sidang video secara langsung di Instagram serta rakaman daripada Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) yang diambil daripada kedua-dua remaja berkenaan.
Sehubungan itu, beliau memohon pihak pembelaan diberi masa untuk mengemukakan penghujahan bertulis berhubung isu yang dibangkitkan. "Pihak pembelaan mahu supaya mahkamah mengeluarkan perintah terhadap isu yang dibangkitkan sebelum perbicaraan bermula hari ini," katanya. Hakim Norhazani bagaimanapun mempersoal mengapa bantahan awal itu tidak dikemukakan pada pengurusan kes sebelum ini. Mahkamah kemudian menetapkan 7 Ogos ini bagi kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis dan pendengaran bantahan awal pada 16 Ogos manakala keputusan pula ditetapkan pada 24 Ogos. Norhazani turut menetapkan tarikh perbicaraan baharu pada 4, 5 dan 11 September serta 2 Oktober ini. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurfadzlin Mahmad Zulhasnan berkata, isu berhubung bantahan awal itu tidak dibangkitkan sebelum ini dan pihaknya juga tidak menerima notis bahawa ia akan dikemukakan ketika prosiding perbicaraan hari ini. Oleh yang demikian, beliau memohon masa untuk mendapat arahan daripada Pengarah Pendakwaan Selangor dan menjawab bantahan awal itu. Safiey Ilias atau nama sebenarnya Mohd Safiuddin Ilias, 29, didakwa atas dua pertuduhan berkomunikasi secara seksual melalui platform Instagram dengan dua remaja lelaki yang ketika itu berusia 14 tahun. Usahawan yang popular dengar lagu 'Syinta Gila' turut didakwa melakukan amang seksual bukan fizikal iaitu menggoyang-goyangkan payudara di hadapan dua remaja sama bagi maksud seksual. Safiey Ilias didakwa melakukan kesemua perbuatan itu di sebuah rumah di Bandar Baru Bangi, jam 9 pagi pada 9 Jun 2021. Bagi kesemua pertuduhan itu, Safiey Ilias didakwa mengikut Seksyen 11(1)(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. Seksyen itu membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun dan Seksyen 15 (a)(i) yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun atau denda RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT