Seorang lelaki di China dikecam kerana memegang anaknya secara terbalik di luar tingkap rumah mereka. South China Morning Post melaporkan, budak perempuan itu dijuntai ke luar tingkap sebagai hukuman kerana membuang air kecil di tempat yang salah.
Lelaki yang identitinya tidak dikenali dan berasal dari wilayah Liaoning, timur laut China itu dikecam orang ramai selepas video perbuatannya menjadi tular. Berdasarkan rakaman, lelaki itu memegang buku lali anak perempuannya dalam keadaan tergantung di luar tingkap flat mereka. Budak perempuan itu dipercayai berusia dalam lingkungan dua hingga tiga tahun. Mangsa menangis meminta tolong dan menjerit perkataan ‘ayah, ayah’. Tanpa menghiraukan jeritannya, lelaki itu terus menggantungnya di udara dan memberi amaran kepadanya supaya tidak mengeluarkan bunyi “Mengapa kamu tidak membuang air kecil di dalam bilik air? Kamu lebih suka membuang air kecil dalam bilik kan?” katanya.
Menurut jiran mereka, kejadian itu berlaku selama dua hingga tiga minit dan berakhir apabila anaknya berjanji tidak akan mengulangi kesalahannya. Kejadian itu tular di media sosial dan orang ramai meluahkan rasa simpati mereka terhadap budak perempuan itu. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT