Lelaki dipercayai dalang utama kes rompakan terhadap isterinya di Bentong, Isnin lalu, diberkas. Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kegiatan suspek terbongkar selepas polis menahan tiga lelaki disyaki terlibat melakukan rompakan terhadap isterinya.
"Hasil soal siasat ke atas suspek yang ditahan mendapati suami mangsa berusia 47 tahun itu dipercayai menjadi dalang utama dalam kes rompakan ini semata-mata bagi tuntutan insurans," menurutnya dalam kenyataan semalam. Polis sebelum itu menerima laporan mengenai kes rompakan melibatkan seorang suri rumah berusia 42 tahun yang telah didatangi tiga lelaki tidak dikenali serta memakai topeng dan bersenjatakan parang di kawasan perumahan Taman Hijau di Karak, Bentong pada 3.05 petang.
Zaiham berkata, suspek mengacukan parang dan menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta dan barang kemas wanita itu dengan kerugian dianggarkan sebanyak RM16,000. "Siasatan awal mendapati ketika kejadian, mangsa tinggal berseorangan di rumah kerana suami, ibu dan anaknya telah pergi ke rumah saudara mereka," katanya sambil menambah operasi mengesan suspek telah menyaksikan polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia 33 tahun dan seorang warga asing berusia 24 tahun pada 9.30 malam di Nilai, Negeri Sembilan. Beliau berkata kesemua suspek direman tujuh hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. Sumber: BERNAMA
|
ADVERTISEMENT