Pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus dalam satu video ceramahnya yang dimuat naik di TikTok @encheredzuan berkata, makruh hukumnya bagi dewasa bermain permainan dalam talian terkenal, Mobile Legends.
Katanya, asas sesuatu perkara adalah mengharuskan dahulu melainkan akan datang, dalil tersebut menjadi haram. Pun begitu, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali sebagai UAI menjelaskan, bagi kanak-kanak, permainan tidak kisah zaman dahulu atau sekarang, hukumnya adalah harus. “Kalau budak-budak main Mobile Legend ke apa, selagi tidak ada perkara yang dilarang, hukum kekal hukum harus. Cuma, demi masa sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. “Makna kata, kanak-kanak bermain hendaklah dikawal oleh orang tuanya. Tidak boleh berlebih-lebihan, walaupun berlebih-lebihan itu tidaklah sampai terganggu kewajipan, kerana kanak-kanak tidak ada benda yang wajib.
“Tetapi demi kesihatan. Kalau main lama sangat, boleh merosakkan kesihatan. Permainan sebenarnya untuk kanak-kanak, kita (dewasa) masuk campur hanyalah untuk menggembirakan kanak-kanak,” katanya. Tambah UAI lagi, boleh bermain permainan dalam talian selagi tidak ada perkara-perkara yang boleh mengalakkan seseorang untuk buat haram di alam nyata. Mengulas lanjut, UAI berkata, bagi orang dewasa, hukum bermain adalah makruh namun boleh dikawal supaya tidak jatuh hukum haram. “Hukum orang dewasa bermain apa-apa jenis permainan adalah makruh melainkan permainan itu sunnah seperti memanah. “Terapi tidak haram macam main bola, main dam, main snooker. Makruh sahaja tetapi perlu kawal jangan sampai jadi haram contohnya jangan bertaruh, jangan dedah aurat dan sebagainya,” jelasnya. Sumber: KOSMO! ONLINE
|
ADVERTISEMENT