Kedua-dua mereka mendakwa pernah berdepan saat menakutkan apabila menjadi mangsa ilmu hitam hingga menjejaskan kerjaya.
Ejai atau nama sebenarnya Mohd Azrizal Aziz ia satu kenangan yang ingin dilupakan untuk selama-lamanya.
"Pada awalnya terkena benda itu (sihir) yang dikesan pada Mac 2021, saya pun 50-50 saja (antara percaya dengan tidak) dan pergi ke hospital untuk mendapatkan rawatan kesihatan.
"Tapi, doktor pula kata saya tak ada apa-apa penyakit kronik dan sihat. Apapun, setiap jam 12 tengah malam saya akan alami sakit yang teruk sampai tak boleh tidur," katanya.
Menurut Ejai lagi, dia mula sedar ada yang tidak kena dengan dirinya apabila mendapati badan semakin kurus. Jelasnya, apabila ambil gambar akan jelas menunjukkan keadaan tubuhnya yang ketara susut.
"Namun, saya masih fikir lagi, kurus sebab sakit dan doktor pula pada masa itu asyik mengesahkan saya sihat. Apapun, saya sebenarnya dah tak mahu lagi bercerita mengenai gangguan sihir ini.
"Ia benda atau sakit yang tidak nampak. Malah saya juga trauma kerana benda membabitkan ilmu hitam ini ada yang boleh diubat dan ada juga sebaliknya," katanya tidak pasti sudah berapa kali terkena sihir.
Mengulas mengenai kesihatannya, Ejai berkata dia kini pulih dan banyak mengamalkan zikir dipelajari dalam perubatan Islam.
Ujarnya, dia juga kini ke arah penghijrahan diri kerana berasakan segala ubat-ubatan adalah di atas izin Allah SWT.
"Apa yang perlu dijaga sekarang ini adalah urusan saya dengan Allah seperti menjaga solat lima waktu dan amalkan zikir harian. Malah apa yang saya harapkan juga ia tidak berlaku ke atas diri saya lagi," kata Ejai yang pernah mendedahkan terpaksa menanggung sakit di bahagian kemaluannya yang berasa panas setiap jam 12 tengah malam hingga ke Subuh selama beberapa bulan akibat disihir.
Sementara itu, Tash Yong atau nama sebenarnya, Nur Natasha Shazlia Rosli menempuhi pengalaman terkena sihir ketika berusia belasan tahun kira-kira 20 tahun lalu.
Menurutnya, dia sedar apabila berlaku pendarahan tanpa henti kira-kira enam bulan dan kemudian mendapatkan rawatan doktor sebaliknya disahkan sihat.
"Namun jantung pula tiba-tiba rasa macam ditikam. Tak boleh buat apa, tak boleh bernafas, sesak nafas. Tapi, bila buat pemeriksaan masih lagi sihat. Jadi, apabila ia tetap berulang-ulang dan aneh sehingga bila tidur kerap alami mimpi ngeri dan badan sering ketindihan, saya juga pernah separuh lumpuh dan empat kali hampir mati ketika itu," katanya.
Mengulas gangguan atau masalah paling teruk dialami ketika terkena sihir, Tash berkata, empat kali rasa hampir mati kerana terhenti bernafas itu antara yang menyeramkan. Katanya, pengalaman itu sangat menakutkan umpama dah sampai ajal.
"Antara kejadian ngeri sewaktu proses berubat pula, perawat perubatan Islam dapat mengeluarkan benda-benda tajam seperti jarum peniti 31 batang, paku karat, pisau cukur, batu, rambut dan macam-macam ada dalam badan saya akibat sihir itu.
"Banyak kali juga saya pergi berubat, tak terkira. Malah hampir setiap kali selesai berubat saya pasti akan terkena lagi. Saya dimaklumkan oleh perawat rawatan Islam itu, memang ia tak berakhir dengan mudah dan dibekalkan ayat pendinding diri untuk diamalkan.
"Alhamdulillah, kini saya sudah kembali sihat, tenang serta dapat bekerja lagi seperti biasa. Saya tidak mengalami apa-apa gangguan aneh macam dulu," katanya mengakui berhadapan trauma.
"Trauma nak berjumpa orang selepas apa yang dilalui memang ada. Cuma, dah kerjaya saya sebagai penghibur tetap kena berjumpa juga. Nak tak nak, tetap kena menjalankan tanggungjawab seperti biasa sebagai anak seni.
"Tapi, saya berjaya kecilkan lingkungan dengan siapa kita nak berkenalan. Pada masa sama, saya lebih jaga untuk bercakap, jaga tindak-tanduk diri dan banyak perkara yang perlu dijaga," katanya.
Tash berkata, apapun dia sudah memaafkan pihak yang terbabit sihir itu kerana tidak gemar bermusuh. Katanya, dia lebih selesa memberi kemaafan," katanya.
Perbuatan sihir ada unsur khurafat, sekutukan Allah SWT
Ilmu hitam atau sihir adalah ilmu-ilmu yang haram diamalkan dan berdosa besar.
Pensyarah Fiqh Fatwa Makanan dan Kepenggunaan Semasa, Pusat Kajian Syariah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata, ia termaktub sebagai perbuatan syirik kepada Allah SWT apabila ia membabitkan bantuan jin, iblis dan sebagainya.
Selain, ia juga ada unsur khurafat atau kepercayaan karut dan menyekutukan Allah SWT.
"Bagaimanapun, isu membabitkan sihir ini sesuatu yang kita tidak boleh nafikan dan juga memperkecilkan kerana ia (sihir) memang wujud dan sudah ada pada zaman Rasulullah SAW lagi.
"Jadi, untuk itu bagi kita mengelak dan mengambil langkah berjaga-jaga daripada ilmu-ilmu hitam yang sudah pastinya haram ini dan boleh mendatangkan mudarat jika tidak dikawal. Justeru, umat Islam perlu ada langkah-langkah untuk menghindarnya," katanya kepada Metro Ahad.
Menurutnya, antara langkah-langkah yang boleh diguna pakai untuk menghindar diri daripada gangguan ilmu sihir ini seperti banyakkan amalan zikir pagi dan petang yang diajar oleh Nabi Muhammad SAW.
"Amalan zikir mathurat, termasuk ayat-ayat Ruqyah yang diamal serta dibaca setiap hari, pagi dan petang. Tujuannya adalah untuk mendinding diri daripada sihir.
"Ini kerana, perbuatan sihir itu boleh mendatang mudarat kepada orang yang terkena sihir seperti muntah darah, hilang ingatan, tiada selera makan dan sebagainya. Oleh itu, kena ada amalan yang mendinding diri kita," katanya.
Ditanya juga mengenai sebab yang menjadikan seseorang itu sanggup menghantar sihir, Dr Mohd Izhar berkata, ia disebabkan oleh penyakit hati yang ada dalam diri manusia.
"Pertama, sebabnya adalah penyakit dalam hati mereka yang tidak dibuang seperti hasad dengki, dendam, marah dan sebagainya. Ini semua adalah masalah-masalah hati yang tidak diperbaiki.
"Yang Allah SWT sebut dalam Al-Quran iaitu, dalam hati mereka ini ada penyakit dan tidak diubati penyakit-penyakit itu sehingga mendatangkan kemudaratan yang besar pada diri mereka dan menyebabkan mereka membuat perkara-perkara yang mungkar seperti syirik dan sebagainya.
"Kedua, kerana mereka tidak percaya kepada Qada dan Qadar. Bila tak percaya, itu sebabnya jadi dengki, nak marah pada orang, tak puas hati dan seumpamanya.
"Ketiga pula, kerana jahil tentang halal dan haram hingga memilih kepada syirik," katanya memberitahu penting untuk masyarakat sedar, tahu dan faham mengenai sihir sekali gus menghindarkannya," katanya.
Dr Mohd Izhar berkata, daripada apa yang diketahui, ada juga pengamal sihir mengenakan mangsa secara rawak sebagai tujuan eksperimen.
Katanya, oleh itu disarankan kita selalu membaca doa dan zikir di mana saja berada. -CARI
Sumber: Harian Metro