Pelakon dan pengarah, Datuk Seri Eizlan Yusof terpaksa mengetepikan perancangan menyambut hari lahirnya yang ke-52 pada 14 Julai ini kerana memberi fokus terhadap aktiviti ceramah umum bersama Tan Sri Annuar Musa.
Eizlan berkata, isterinya, Datin Seri Natasha Rosa Boudville dan anak-anak sudah membuat perancangan untuk mengadakan majlis sambutan hari lahir itu sebagaimana dilakukan mereka setiap tahun. "Isteri dan anak-anak sudah merancang untuk membuat majlis hari lahir saya pada 14 Julai ini kerana turut berkongsi tarikh hari lahir sama dengan anak ketiga saya, Vie Zaalia yang bakal berusia 10 tahun. "Namun, sayangnya pada tarikh itu (14 Julai) saya perlu bersama-sama Annuar menghadiri sesi ceramah umum parti yang berlangsung di Sik, Kedah," katanya juga Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN). Selain Kedah, Eizlan memaklumkan beliau dan Annuar akan berkunjung ke beberapa negeri lain seperti Terengganu, Negeri Sembilan dan Selangor untuk menghadiri sesi ceramah umum berkenaan sepanjang Julai ini.
Eizlan berkata, walaupun pada awalnya anak-anak nampak sedikit kecewa terutama Vie Zaalia, tapi mereka akur selepas diberikan penjelasan sebenar. Katanya, keluarga juga memberikan sokongan positif dan terbaik. "Apa yang pasti, saya amat terharu sebabnya mereka (isteri dan anak) sudah pun membuat beberapa perancangan untuk majlis itu dan begitu teruja berkongsi segala persiapan kepada saya. "Tapi, sayangnya untuk kali ini saya terpaksa terangkan kepada mereka mengenai tugas yang perlu dilakukan pada masa sekarang dan syukur sangat kerana mereka memahaminya. "Bagi saya, walaupun tarikh itu penting untuk diraikan bersama, namun ingatan dan detik indah kami sekeluarga yang lebih bermakna. Insya-Allah, kami akan sambut majlis itu selepas saya balik nanti," kata bapa kepada empat cahaya mata ini. Terdahulu, Eizlan memiliki tiga anak iaitu Vie Zaara, 15, Zareef Yusof, 13, dan Vie Zaalia, 10 melalui perkahwinan pertamanya dengan bekas isteri, Vie Shantie. Bagaimanapun, Eizlan yang bertemu jodoh kali kedua dengan Natasha Rosa pada 2019 kini dikurniakan seorang anak perempuan, Zaelynn Rosa, berusia dua tahun. Pada 10 Jun lalu, Eizlan mengesahkan beliau menyertai parti PAS bersama-sama Annuar. Sebelum ini, Eizlan pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu di Parlimen Sabak Bernam melalui tiket parti Pejuang. Sumber: Harian Metro |
ADVERTISEMENT