Washington: Sebuah kapal selam yang digunakan untuk membawa pelancong melihat bangkai kapal Titanic di Atlantik Utara dilapor hilang. Susulan kejadian itu, operasi mencari dan menyelamat sedang dijalankan.
Setakat ini, masih tidak diketahui jumlah orang di dalam kapal itu, yang dikendalikan oleh syarikat, OceanGate Expeditions. Pengawal Pantai Amerika Syarikat tidak menjawab permintaan AFP untuk mengulas tetapi organisasi berita lain termasuk BBC dan The New York Times memetiknya sebagai berkata, operasi mencari kapal yang hilang itu sudah dilancarkan. Di laman webnya, syarikat itu mengatakan ekspedisi ke tapak Titanic "sedang dijalankan." Dalam satu kenyataan yang dipetik oleh CBS News dan lain-lain, OceanGate Expeditions berkata: "Seluruh tumpuan kami tertumpu pada anak kapal dalam kapal selam dan keluarga mereka."
Tidak diketahui sama ada pelancong berada di dalam kapal selam itu. Akhbar The Guardian berkata, terdapat lima orang di dalam kapal itu. OceanGate tidak dapat dihubungi dengan serta-merta. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT