Bapa 10 anak diperintah Mahkamah Rayuan Putrajaya menjalani hukuman penjara 11 tahun dan 25 kali sebatan bermula dari tempoh tahanan reman. Keputusan itu dibuat sebaik Azmi Mat Hussin, 51, disabitkan atas 25 kesalahan menipu dan salah guna harta melibatkan kerugian hampir RM200,000.
Panel tiga hakim diketuai Datuk P. Ravinthran sebulat suara memerintahkan Azmi menjalani hukuman penjara bermula pada 15 November 2018 dengan mengambil kira tempoh remannya selama setahun dan 12 hari. Beliau yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan bekas peniaga itu terhadap hukuman. “Mahkamah membenarkan sebahagian rayuannya dengan meminda tarikh hukuman bagi kedua-dua kesalahan pada 27 November 2019 dan menggantikannya dengan 15 November 2018 iaitu pada tarikh tahanan reman,” jelas Hakim Ravinthran.
Panel itu turut mengurangkan jumlah sebatan daripada 25 sebatan kepada 24 atas alasan Seksyen 288(5) Kanun Prosedur Jenayah (CPC) menyatakan 24 sebatan adalah jumlah maksimum yang dibenarkan mengikut undang-undang. Hakim Ravintharan turut menjelaskan, oleh kerana kesalahan yang dilakukan adalah jenayah komersil di bawah Seksyen 403 dan 420 Kanun Keseksaan, sebatan yang akan dikenakan adalah dengan cara disiplin sekolah iaitu menggunakan rotan halus seperti yang diperuntukkan oleh Seksyen 288(4) CPC. Ketika Hakim Ravinthran membacakan keputusan mengenai hukuman sebatan, Azmi yang mempunyai dua isteri dilihat ketawa kecil dari kandang perayu. Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud manakala tertuduh diwakili peguam Izleen Ismail. Pada 2018, Azmi didakwa atas 22 pertuduhan menipu tiga individu dengan memperdaya dan dengan curangnya menawarkan telefon bimbit, kereta dan motosikal yang tidak wujud dan lebih rendah daripada harga pasaran sehingga mendorong mereka memasukkan wang berjumlah RM187,700 ke dalam akaun banknya. Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar Shah Alam, Sungai Buloh dan Kuala Lumpur pada November dan Disember 2017 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebat serta denda. Lelaki itu turut didakwa atas tiga pertuduhan menyalahgunakan harta curi iaitu wang berjumlah RM12,000 milik seorang wanita. Wang itu sebagai bayaran mendapatkan sebuah motosikal di sebuah bank di Melaka antara 13 dan 27 Dis 2017 dan kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 403 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau sebat dan denda. Pada 15 Ogos 2018, Azmi pertama kali dituduh di Mahkamah Majistret Shah Alam atas enam pertuduhan melibatkan Seksyen 420 dan didakwa lagi pada 15 November 2018 atas 19 pertuduhan di bawah Seksyen 420 dan 403 kanun sama. Pada 15 November, jaminan terhadapnya ditarik balik oleh mahkamah menyebabkannya ditahan reman. Dia kemudian menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap kesemua 25 pertuduhan pada 27 November 2019 dan dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 25 sebatan bermula tarikh berkenaan. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT