Los Angeles: Ketika kes COVID-19, selesema dan virus pernafasan syncytial (RSV) semakin berkurangan di seluruh Amerika Syarikat (AS), jangkitan virus pernafasan lain, dipanggil metapneumovirus manusia (HMPV) semakin meningkat dan menimbulkan kebimbangan kerana ramai tidak mengetahui mengenainya.
Ditemui pada 2001, HMPV adalah dalam keluarga Pneumoviridae bersama-sama dengan RSV. Penggunaan ujian diagnostik molekul yang lebih meluas meningkatkan pengenalan dan kesedaran mengenai HMPV sebagai punca penting jangkitan pernafasan, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS. Kes HMPV meningkat di AS ketika ini, menurut sistem pengawasan virus pernafasan CDC. Peratusan ujian positif untuk HMPV melonjak kepada 17.5 peratus untuk ujian antigen dan 9.6 peratus untuk ujian PCR pada akhir Mac. Pada kemuncaknya pada pertengahan Mac, hampir 11 peratus spesimen diuji positif untuk HMPV, kira-kira 36 peratus lebih tinggi daripada purata, puncak bermusim prapandemik sebanyak tujuh peratus positif ujian, menurut laporan CNN.
Memetik laporan Xinhua, ia memenuhi unit rawatan rapi hospital dengan kanak-kanak kecil dan warga emas yang paling terdedah kepada jangkitan ini. HMPV boleh menyebabkan penyakit saluran pernafasan atas dan bawah pada semua peringkat umur, terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kecil, orang tua, dan orang yang mempunyai sistem imun yang lemah, menurut CDC. Data pengawasan daripada Sistem Pengawasan Virus Pernafasan dan Enterik Kebangsaan CDC menunjukkan HMPV paling aktif ketika lewat musim sejuk dan musim bunga dalam iklim sederhana. Gejala yang biasanya dikaitkan dengan HMPV termasuk batuk, demam, hidung tersumbat, dan sesak nafas, menurut CDC. Tidak seperti COVID-19 dan selesema, tiada vaksin untuk HMPV atau ubat antiviral untuk merawatnya. Sebaliknya, orang yang sakit tenat dirawat simptom mereka. "Tidak perlu terlalu bimbang mengenai HMPV," kata seorang pakar epidemiologi terkemuka. "Mod penghantaran, kaedah pencegahan, simptom dan rawatan virus ini adalah serupa dengan influenza." "Jadi tidak perlu terlalu risau kecuali orang tua, populasi terjejas imun dan kumpulan berisiko tinggi lain," kata Zhang Zuofeng, profesor dan pengerusi Jabatan Epidemiologi di Universiti California, Los Angeles memberitahu Xinhua. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT