Kejadian tular pemandu ditarik keluar sebelum Perodua Axia dipandunya dilarikan tiga lelaki di sebuah persimpangan lampu isyarat kira-kira pukul 7.45 pagi adalah disebabkan ibu mangsa gagal melunaskan wang pinjaman.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd. Asri Shafie mengesahkan susulan kejadian kejadian di Jalan Bagan Lalang, Butterworth itu, pihaknya berjaya menahan ketiga-tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 27 sehingga 49 tahun semalam. Katanya, suspek ditahan di tiga lokasi berbeza iaitu di Kuala Kangsar, Perak dan Seberang Jaya serta dekat sini. “Hasil siasatan awal mendapati ibu mangsa yang berusia 57 tahun membuat pinjaman wang berjumlah RM100,000 daripada seorang lelaki pada tahun 2020. “Melalui perjanjian bertulis, ibu mangsa bersetuju untuk menyerahkan kereta berkenaan sekiranya gagal membayar pinjaman terbabit.
“Memandangkan ibu mangsa gagal membayar pinjaman itu, lelaki (pemiutang) terbabit mengupah tiga lelaki untuk merampas kereta mangsa,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi. Jelasnya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan sekiranya sabit kesalahan. “Kita juga masih dalam usaha mengesan suspek yang masih bebas dalam kes ini,” katanya. Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai untuk tidak terus menularkan video kejadian berkenaan dan orang awam juga boleh merujuk kepada pihak yang berkenaan untuk pengesahan maklumat supaya maklumat yang betul boleh diperolehi. “Sebarang maklumat boleh disalurkan kepada pihak polis dengan menghubungi balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan IPD SPU ditalian 04-5759122,” katanya. Sumber: UTUSAN
|
ADVERTISEMENT