Biarpun popular di media sosial dan imej mereka sedap mata memandang, Isaac Voo, Naufal Azrin dan Meer Nash tetap tersingkir di gelanggang pertandingan Big Stage musim kelima. Juri pertandingan, Ajai yang juga komposer tetap dengan prinsipnya untuk bertanggungjawab menyaring mereka yang benar-benar serius dan bermutu untuk diketengahkan dalam industri seni.
“Untuk menyelamatkan industri, saya fikir itu kerja kami (juri). Memang benar, ada penyanyi yang ada imej (ada rupa), peminat namun tiada suara. “Biarlah populariti seiring dengan bakat. Jika tidak, seolah-olah awak sedang tipu peminat. Awak kata boleh menyanyi tapi sebenarnya tidak. “Kita mahu cari keseimbangan, mahukan generasi pelapis yang boleh industri banggakan,” katanya kepada Utusan Malaysia semasa sidang media konsert Big Stage musim kelima, semalam. Namun, Ajai juga mengingatkan peserta agar berpijak di bumi nyata. Vokal yang baik tidak mencukupi.
Seseorang penyanyi harus mempunyai alasan lain untuk ‘menjual’ diri. Kerana industri seni penuh persaingan, jadi seseorang harus lebih menonjol. “Kita tidak boleh salahkan peminat jika mereka meminati artis yang vokalnya tidak cukup matang. Itu pilihan masing-masing. Di sini, penyanyi sendiri harus lebih terbuka untuk beradaptasi dengan perubahan. “Sebab itu kita memerlukan khidmat artist and repertoire yang akan menentukan pembawakan serta jenama artis. “Kita lihat Aina Abdul, dia menurut saya artis yang bijak. Jika selepas lagu Sumpah dia tak lakukan sesuatu, dia juga tak boleh pergi. Aina bermain dengan busana, awal-awal orang kecam. Lama-lama haters bertukar sayang,” tambahnya lagi. Turut berkongsi pandangan ialah penyanyi, Datuk Shafinaz Selamat yang merasakan setiap artis perlu memikirkan jenama yang ingin dibawa selepas pertandingan berakhir. “Contoh, Nadeera, dia mempunyai suara yang sangat bagus, pernah menyertai banyak pertandingan malah pernah menang. Tapi dia masih belum popular. “Jadi, artis yang punya suara bagus ini kena fikir cara untuk bertahan di dalam industri. “Imej sangat penting untuk artis. Saya setuju, kita boleh jadikan Aina Abdul sebagai contoh,” jelasnya. Shafinaz turut mengingatkan, di zaman media sosial, semua orang boleh popular dengan segera. Katanya,penyanyi muda harus mempersiapkan diri dengan ilmu kerana di akhirnya nanti, mereka dihormati kerana kebolehan nyanyian. “Kita tidak mahu industri dipenuhi dengan penyanyi yang separuh masak. Jika mahu betul-betul berada di sini, carilah ilmu. “Ramai peminat itu bagus, namun anda perlu berusaha keras,” katanya. Konsert Big Stage 5 Ahad lalu menyaksikan peserta, Meer Nash tersingkir dengan markah paling rendah iaitu 45.33 peratus. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT