Penemuan mayat dalam kereta dipercayai terbabas ke parit berhadapan sebuah hotel di sini, hari ini menjawab misteri kehilangan seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM). Mayat Mohamad Khair Mahat, 28, ditemui orang awam yang memotong rumput berhampiran lokasi kejadian.
Pada 21 Mei lalu, isteri mangsa dikatakan menerima laporan suaminya tidak hadir bertugas. Susulan itu, laporan polis dibuat keluarga berhubung kehilangan mangsa. Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Md Razali Wan Ismail, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 4.23 petang. Beliau berkata, sembilan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam dihantar ke lokasi kejadian.
"Berdasarkan laporan awal, kejadian membabitkan Perodua Kelisa yang ditemui orang awam dalam parit dianggar sedalam dua meter. "Kereta berkenaan terbalik dipercayai terbabas," katanya dalam satu kenyataan, hari ini. Wan Md Razali berkata, anggota bertugas mengeluarkan mangsa selepas kereta itu dibawa naik menggunakan jentera. Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Sumber: BH Online
|
ADVERTISEMENT