Johor Bahru: Beberapa orang pelajar tingkatan 3 sebuah sekolah menengah sekitar Kempas di sini, telah ditangkap polis gara-gara terbabit dalam pergaduhan sesama mereka. Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 3.43 petang semalam.
Dikatakan, perselisihan faham itu disebabkan tidak puas hati dengan insiden baling pemadam pensel. "Siasatan polis mendapati kejadian berlaku berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang pelajar yang dibaling pemadam pensel oleh rakan sekelasnya dua hari sebelum kejadian itu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini. Beliau berkata, akibat pergaduhan itu, beberapa orang pelajar mendapat rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, kerana cedera luka di kepala, lebam pada kaki dan tangan. Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
Pada masa sama, Balveer Singh menasihatkan supaya masyarakat tidak mensensasikan isu berkenaan sehingga boleh memberi implikasi kepada keharmonian memandangkan siasatan masih lagi dijalankan. "Masyarakat juga dinasihatkan bersikap rasional dalam menyelesaikan sebarang masalah yang dihadapi dan janganlah melakukan sebarang perbuatan melulu sehingga boleh dikenakan tindakan undang-undang," pesannya. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT