Ahli politik di Filipina mengesyorkan undang-undang bagi membenarkan pelajar berehat dan tidak membuat kerja rumah selepas sesi persekolahan. The Straits Times melaporkan, bagi melaksanakannya, Sam Versoza, ahli Dewan Perwakilan Filipina daripada Tutok To Win Party-List, mencadangkan undang-undang tiada kerja rumah yang bertujuan melarang guru memberikan kerja rumah kepada pelajar sekolah rendah dan menengah pada hujung minggu.
Pada 2010, pekeliling memorandum oleh Jabatan Pendidikan menasihatkan guru untuk memberikan kuantiti kerja rumah yang munasabah kepada pelajar sekolah rendah awam pada hari bekerja. Berdasarkan pekeliling itu, tiada kerja rumah harus diberikan pada hujung minggu. Rang undang-undang (RUU) yang dicadangkan Versoza bertujuan untuk melaksanakan arahan itu di semua sekolah rendah dan menengah di seluruh negara.
Sejak Kongres ke-17 dari 2016 hingga 2019, penggubal undang-undang cuba melaksanakan 'dasar tanpa kerja rumah pada hujung minggu'. Bagaimanapun, langkah sedemikian masih belum selesai di hadapan Jawatankuasa Asas Pendidikan dan Kebudayaan dewan. Dalam ucapannya pada Isnin, Versoza berkata, pelajar meluangkan masa yang banyak untuk menyelesaikan kerja rumah mereka. Dalam beberapa keadaan, ibu bapa sendiri akan menyelesaikan tugas anak-anak mereka. "Belia Filipina terlalu banyak bekerja tetapi Filipina ketinggalan di belakang negara lain," kata Versoza dalam perutusan khasnya. Beliau memetik laporan baru-baru ini bahawa purata tahap kecerdasan (IQ) warga Filipina adalah 81.64, manakala purata IQ global ialah 100. Filipina menduduki tempat ke-111 daripada 200 negara dari segi purata IQ. "Ia membimbangkan dan membuktikan Filipina berada di tengah krisis pendidikan. Jika sistem tidak berfungsi, marilah kita perbaiki sistem," kata Versoza. Sumber: Harian Metro
|
ADVERTISEMENT