Memasang impian dan hasrat untuk ke Mekah dan Madinah, pelakon veteran, Khatijah Tan, 62, sentiasa mengharapkan rezeki dapat menunaikan haji di Tanah Suci itu. Kongsinya, pengalaman menunaikan umrah lapan tahun lalu, menyebabkan hatinya disuntik rasa cinta untuk mengunjungi semula Masjidil Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah.
“Kalau banyak duit, tempat yang paling saya hendak pergi adalah Mekah dan Madinah. “Saya memang sudah daftarkan diri dengan Tabung Haji. Kalau ikutkan giliran saya (tunai gaji) adalah semasa umur 90 nanti. “Sejak pergi umrah dahulu, memang perasaan ingin ke sana sahaja. Tempat lain sudah rasa tidak minat untuk pergi. Kalau masa muda dahulu, sebelum tunai umrah memang kita hendak melancong ke tempat lain,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini. Khatijah yang sinonim dengan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu berkata, menunaikan rukun Islam kelima itu adalah satu rezeki yang dikurniakan Tuhan kepada hambanya.
Katanya, kadang-kadang individu yang dipilih ke tanah suci pergi dalam keadaan yang tidak disangka-sangka. “Ada duit tak semestinya dapat pergi. Kadang-kadang ada benda lain yang menghalang seperti kesihatan. “Boleh jadi tiada duit tetapi dapat pergi dengan izin Allah. Pernah saya jumpa dia terkejut tiba-tiba dapat tajaan ke sana. Bagi saya, duit bukan ‘tiket’ hendak ke Mekah. Memang kita perlukan duit, itu adat dan fitrah dunia tetapi kalau belum sampai seru atau ada halangan pun tak dapat juga ke sana,” katanya. Berkongsi perkembangan terkini dalam lakonan, Khatijah yang menetap di Ipoh, Perak, berkata, dia bersyukur kerana masih menerima tawaran daripada stesen televisyen. Katanya, dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri kanak-kanak terbitan Astro dengan memegang watak sebagai ibu. “Cerita ini ada unsur komedi dan akan habis penggambaran pada Jun nanti. “Bayaran pun okay sebab drama ini dalam slot khas. Ikutkan bayaran lebih baik daripada tawaran yang pernah dapat sebelum ini. Mungkin juga sebab pelakon veteran sudah tidak ramai berbanding pelakon muda yang perlu bersaing mendapatkan tawaran,” katanya. Sumber: Utusan
|
ADVERTISEMENT